Ahli Parlimen Port Dickson (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kenyataannya bahawa bencana kepala air Gunung Jerai di Yan, Kedah pada Ogos lalu sebagai “takdir Allah SWT”.
Ketua Pembangkang itu berkata, persoalan mengenai alam tidak harus diletakkan ‘kesalahan’ kepada pencipta, sebaliknya melihat kepada tindakan manusia itu sendiri.
“Soal ‘nature’ ini jangan salahkan Tuhan, kadang-kadang ia masalah manusia.
“Mantan Menteri Kerja Raya dahulu, bila adanya kerobohan, ‘act of God’. Bagaimana anda tahu itu takdir Tuhan, bila manusia itu rakus merosakkan balak?” katanya Anwar di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas) berkata, tiada sebarang aktiviti pembalakan berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai.
Bahkan, Setiausaha Agung Pas tersebut berkata, beliau sendiri meninjau lokasi bencana banjir puing itu.
“Saya turun sendiri. Saya lihat pokok-pokok yang dibawa turun oleh kepala air ini bersekali dengan akarnya.
“Air itu bawa akar, menunjukkan tiada pembalakan di Gunung Jerai ini. Inilah yang dikatakan takdir Allah… kena terletak kepada Allah itu,” katanya.
Takiyuddin berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan oleh Sabri Azit (Pas-Jerai) yang bertanyakan tindakan kementerian untuk melestari hutan di sepanjang jalan menuju ke puncak Gunung Jerai.
Sabri berkata, kejadian kepala air itu mengakibatkan pokok-pokok berskala balak bertimbun sekali gus berisiko dari segi keselamatan.
Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan akan menjalankan program restorasi kawasan hutan terosot termasuk di Gunung Jerai.
“Sebanyak RM75 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek dan proses restorasi itu,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan KeTSA memandang serius isu pembalakan haram dan kesalahan hutan yang lain di dalam Hutan Simpan Kekal.
Sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 29 kes pembalakan haram dan 207 kes kesalahan hutan lain telah diambil tindakan di Semenanjung.
Manakala, sebanyak tiga kes pembalakan haram dan 49 kes kesalahan hutan lain telah diambil tindakan di Sabah, kata beliau.
“Di Sarawak pula sebanyak 44 kes pembalakan haram dan 18 kes kesalahan hutan lain telah diambil tindakan.
“Penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut boleh didakwa masing-masingnya di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah,” jelas Takiyuddin lagi.