Warganegara lima negara Asia Selatan termasuk India boleh masuk Malaysia

Oleh ARIF ATAN

Kerajaan telah membenarkan kemasukan semula pengembara dari lima negara iaitu India, Sri Lanka, Nepal, Pakistan dan Bangladesh.

Pengumuman penamatan sekatan tambahan ke atas kemasukan warganegara dari negara-negara Asia Selatan itu terkandung dalam surat Ketua Pengarah Imigresen Malaysia bertarikh semalam.

Menurut surat yang dilihat Malaysia Dateline, keputusan penamatan itu ditetapkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada 8 September lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, memetik surat tersebut, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menamatkan sekatan tambahan yang dikenakan ke atas negara-negara terbabit berkuatkuasa serta-merta.

Walau bagaimanapun Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kemasukan warganegara terbabit hendaklah dibuat secara teliti dengan mensasarkan kategori Penduduk Tetap Malaysia, pemegang pas jangka panjang di Malaysia, pelawat perniagaan dan pelabur.

“Pelawat asing yang dibenarkan masuk hendaklah mematuhi syarat keperluan vaksin lengkap, prosedur ujian saringan ketika ketibaan dan kuarantin di Malaysia seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan varian baharu Covid-19 dalam negara,” katanya.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan India pada 22 Jun lalu memberi amaran kepada negeri Maharashtra, Kerala dan Madhya Pradesh mengenai varian Covid-19 baharu dikenali sebagai Delta Plus.

Selanjutnya, pada 21 Julai lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan varian Delta lebih berbahaya, sangat berjangkit dan cepat merebak.

Menurut WHO juga, varian Delta yang pertama kali dikesan di India itu dijangka menjadi strain dominan Covid-19 dalam tempoh beberapa bulan akan datang.