‘Ulama wali Allah kepada umat, Allah isytihar perang terhadap musuh wali’

Oleh ARIF ATAN

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menegaskan golongan ulama merupakan wali-wali Allah dengan dia mereka sangat didengari Allah.

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, begitu juga anak, isteri dan pelajar dengan masing-masing mempunyai ibu bapa, suami dan guru sebagai wali-wali Allah.

“Saya sudah berpesan. Kepada anak, ibu bapa mereka adalah wali-wali Allah yang sangat dimakbulkan doa mereka.

“Bagi isteri, suami adalah wali-wali Allah yang sangat mustajab doa-doa mereka. Kepada pelajar dan penuntut, guru adalah wali-wali Allah yang doanya sangat didengar oleh Allah.

“Kepada umat, ulamak-ulamak mereka adalah wali-wali Allah yang disembunyikan Allah. Namun doa mereka dan bisikan hati mereka sangat diambil perhatian oleh Allah,” katanya dalam hantaran Facebook sebentar tadi.

Mokhtar juga berkata, alam ini ditenangkan Allah kerana kewujudan wali-wali terbabit menyimbahkan rahmat-Nya di muka bumi ini.

“Manusia ramai dan makhluk berkongsi nikmat dari keberkatan ulamak yang dicurahkan Allah ke atas mereka.

“Beruntunglah anak yang soleh, isteri yang solehah, murid yang beradab dan umat yang mencintai para ulama.

“Sebaliknya, celakalah orang-orang yang memusuhi para wali-wali Allah dan Allah mengisytiharkan PERANG terhadap mereka,” tambah Mokhtar lagi dengan huruf ‘perang’ ditulis dengan semua huruf besar.