Husam menang lagi saman fitnah, rayuan Masri Che Yusoff ditolak

Oleh NASUHA RAHMAN

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Masri Che Yusoff terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu Datuk Ahmad Bache bertarikh 26 Jun 2018 yang telah membenarkan saman dan tuntutan Datuk Husam Musa susulan satu tulisan berunsur fitnah di Facebook.

Dalam penghakiman ringkas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan Dato’ Suraya Othman, Dato’ Lee Heng Cheong dan Dato’ Indera Mohd Suffian Tan Sri Abd Razak memutuskan bahawa Husam telah berjaya membuktikan tulisan Facebook tersebut satu fitnah dan Masri telah gagal membuktikan tiga pembelaan yang dibangkitkan iaitu justifikasi, ulasan saksama dan perlindungan bersyarat. Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu tersebut dikekalkan.

Husam diwakili peguam Faiz Fadzil (dibantu Faizal Abdullah), manakala Masri pula diwakili peguam Yusfarizal Yussoff (dibantu Mohd Faizi Che Abu).

Masri melalui akaun Facebook miliknya pada 27 Oktober 2015 menyiarkan gambar dan tulisan yang menuduh Husam secara salah memberikan kepada sebuah syarikat tanah seluas 414.37 hektar yang mana tuduhan ini dinafikan Husam.

Tulisan tersebut antara lain berbunyi “Sahaja Aku Faridhkan Tanah 414.37 hektar kepada Akedemi Pembangunan Keluarga Bahagia Bhd (APKB)”.

Ketika Masri menulis di Facebook tersebut adalah ahli jawatankuasa Pas Kawasan Ketereh dan anggota Dewan Ulamak Pas Kelantan.

Masri juga adalah seorang guru Agama di sebuah sekolah Agama di Kelantan.

Menurut Faiz, jumlah gantirugi telah ditaksir Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 10 Februari 2021 lalu di mana jumlah gantirugi yang perlu dibayar oleh Masri kepada Husam adalah sebanyak RM150,000.

Bagaimanapun katanya, jumlah gantirugi ini kekal kerana tiada rayuan difailkan Masri.

Kos rayuan hari ini ditetapkan sebanyak RM15,000. Kos sebelum ini ditetapkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebanyak RM10,000 dan RM5,000.