Berhenti jadikan TH tunggangan politik dan agama

Oleh ARIF ATAN

Alhamdulillah, Laporan Kewangan TH 2019 telah diaudit dan dimaklumkan pada awam dengan mendapat sijil perakuan dari Ketua Audit Negara ditandatangani pada 23 Dis 2020.

Jikalau Audit 2018, TH baru sahaja melalui fasa awal intervensi pemulihan, Ketua Audit Negara telah menegur dengan keras (EOM) emphasis of matter dalam soal kemampuan TH membayar balik sukuk yang diterbitkan oleh UJSB. Kita telah menjelaskan bahawa sukuk adalah di bawah senarai jaminan kerajaan dan kaedah pembayaran balik telah dinyatakan dengan detail.

Alhamdulillah, isu pertikaian sukuk dengan jaminan ‘aset sakit’ dipindahkan kepada UJSB tidak lagi timbul malah dalam laporan audit kewangan TH 2019 tiada pun teguran keras (EOM) malah diperakui mengikut piawaian yang ditetapkan.

Saya ingin tegaskan di sini matlamat pemulihan yang kami gerakkan semasa diberi amanah menjaganya adalah untuk memastikan kewangan TH mengikut piawaian laporan kewangan supaya tidak berlaku manipulasi semata-mata untuk membayar hibah yang tinggi tetapi membahayakan kewangan TH pada masa depan.

Kami turut memastikan Akta TH dipatuhi sebagai tanggungjawab statutuari dan menjaga kebajikan sembilan juta penabung umat Islam.

Untuk mengembalikan pematuhan yang telah lari dari landasannya semasa kami ambil alih, kami terpaksa ambil keputusan yang tidak popular. Hibah dibayar rendah supaya pematuhan akta dapat dipenuhi dalam seksyen 22.

Aset yang tidak berdaya saing (aset sakit) diasingkan bagi mengurangkan tekanan kewangan. Untuk menyelamatkan keadaan, pindahan ‘aset sakit’ ke syarikat bertujuan khas UJSB dimuktamadkan dengan MoF (Inc).

Demi kebajikan sembilan juta penabung dan kelestarian fungsi utama TH, dua landasan sukuk diterbitkan dengan sandaran aset sakit yang dinilai oleh kerajaan PH waktu itu secara harga premium.

Bagi mengekalkan prestasi kewangan yang baik seterusnya kami terpaksa membayar hibah yang rendah untuk kewangan 2018 supaya ada peningkatan untuk tahun selanjutnya. Alhamdulillah, untuk kewangan 2019 kami berjaya tingkatkan Hibah mengikut pematuhan akta TH yang sebenar.

Orang awam boleh muat turun laporan TH untuk kewangan 2019 yang pada hakikatnya adalah hasil sebenar setelah setahun pemulihan yang kami lakukan dari sudut laporan kewangan yang bersih dan mengikut piawaian.

Alhamdulillah, Ketua Audit Negara memperakui pematuhan kami kepada Malaysian Finance Reporting Standard (MFRS) dan International Finance Reporting Standard (IFRS) dan lebih penting amanah mematuhi Akta TH dipenuhi.

Saya mengharapakan kelestarian TH dikekalkan kerana ia adalah kebanggaan umat Islam dalam dan luar negara. Berhentilah daripada TH menjadi tunggangan politik dan agama dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

Wallahu musta’an a’la ma tasifun…