Tiada projek atau kontrak yang disokong atau diluluskan, kata Khalid

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad menafikan dakwaan sebuah portal berita kononnya beliau menandatangani satu surat untuk menyokong atau membenarkan satu projek dijalankan sewaktu menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, sebuah media lain turut membuat laporan yang sama, tetapi kemudiannya menarik balik laporan tersebut.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berharap pihak media yang dianggap berpihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu mengemukakan butiran terperinci.

“Oleh kerana saya tidak tahu projek mana yang dimaksudkan oleh media pro bekas Menteri Ekonomi PH ini, yang kemudian melompat macam katak untuk menjadi Menteri kanan PN, saya tidak boleh memberikan apa-apa penjelasan.

“Jika diberikan butiran secara terperinci tentang surat itu, saya boleh memberikan respons ke atas dakwaan itu dan memberikan penjelasan mengenainya.

“Saya memohon mereka mendedahkan secara terperinci tentang surat itu supaya dapat saya respons.

“Seingat saya, tidak ada sebarang projek atau kontrak yang saya sokong atau luluskan sebagaimana yang dibayangkan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Khalid mengingatkan agar tuduhan terhadapnya tidak seperti apa yang dilakukan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu pemindahan wang bernilai RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah.

“Semoga tragedi yang berlaku kepada Menteri Besar Kedah yang mendakwa Datuk Seri Mukhriz membuat onar, tiba-tiba MB sebelumnya pula yang terkena tidak berulang dalam kes ini,” kata Khalid lagi.