Pada 22 September 2021, Ahli Parlimen Tampin YB Dato Dr. Hasan Bahrom menjadi ahli parlimen pertama pada hari tersebut yang membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja sempena pembukaan parlimen bagi sidang kali ini. Giliran tersebut merupakan giliran tertangguh apabila sepatutnya Dr. Hasan menjadi orang terakhir berbahas hari sebelumnya, namun masa yang sudah berlarutan, digantikan giliran Dr. Hasan pada hari seterusnya.
Walaupun semasa memulakan perbahasannya, Dewan di gamatkan dengan tindakan ahli parlimen pembangkang yang mempersoalkan perjalanan proses dewan yang sangat mengelirukan, Dr. Hasan terpaksa menunggu beberapa minit supaya Dewan Rakyat kembali tenang untuk beliau memulakan perbahasan. Daripada keseluruhan pidato Dr. Hasan, tiga perkara pokok telah menjadi tunjang ucapan beliau termasuk isu pendidikan, isu luar bandar dan isu perpaduan.
Namun penulis mahu menumpukan seluruh ulasan ini kepada pidato Dr. Hasan terkait dengan isu pendidikan. Memandangkan Dr.Hasan merupakan Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional dan juga anggota JK Pendidikan Pakatan Harapan, maka molek jika penulis memberikan tumpuan kepada isu pendidikan yang dibangkitkan oleh Dr. Hasan.
Mulanya, Dr. Hasan mempersoalkan kecekapan dan keprihatinan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibawah pimpinan Menteri Kanan Pendidikan (MKP) apabila masalah asas yang dialami oleh pihak guru dan murid semasa PdPR dijalankan tidak diatasi oleh KPM walaupun PdPR telah dilaksanakan untuk tahun kedua.
Dr. Hasan menegaskan, jika KPM gagal menguruskan keadaan pendidikan semasa pandemik ini pastinya akan menggagalkan KPM untuk melahirkan insan yang kamil dan syamil. Bagi penulis, kenyataan ini mewajahkan aspirasi AMANAH Khususnya Dr. Hasan dalam melihat pendidikan itu bermatlamat untuk melahirkan insan yang bukan sahaja serba lengkap dari segi intelektual dan akademik semata-mata, malah lebih penting pemerkasaan nilai kerohanian dalam diri murid-murid menjadi tema utama pendidikan.
Selaras dengan gagasan ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ yang dibawa oleh AMANAH, kesemua aspek yang membentuk wajah keunikan manusia akan dicermati secara sistematik dan tuntas melalui pendidikan yang sepatutnya dilaksanakan.
Negara yang dibina atas kekuatan intelektual dan pembangunan jangan dirobohkan pula sebuah bangsa apabila nilai agama, kebudayaan dan kemanusian dikesampingkan. Inilah penegasan tersirat yang diungkapkan oleh Dr. Hasan dalam pidatonya apabila KPM gagal menguruskan masalah PdPR ini setelah berpanjangan. Natijahnya sangat membahayakan anak bangsa kita kelak.
Antara yang Dr. Hasan bangkitkan adalah bagaimana dengan janji kerajaan semasa membentangkan belanjawan 2021 dahulu apabila menjanjikan sejumlah peranti dalam lingkungan 150, 000 unit kepada murid golongan B40. Namun malangnya, sehingga september 2021, agihan peranti ini masih belum diselesaikan.
Ini yang menjadi kerisauan Dr. Hasan apabila, makin lama agihan ini tidak diselesaikan maka makin banyak yang murid-murid tertinggal untuk mempelajarinya. Seiring dengan itu juga, ketiadaan data jalur lebar juga menyebabkan murid-murid tidak menyertai PdPR walaupun mereka sudah mempunyai peranti. Ini kegagalan berkembar yang pastinya KPM dapat hidu namun masih tercari-cari bagaimana mahu menyelesaikannya.
Bagi penulis, kekangan ini menyebabkan emosi dan mental murid-murid terjejas sama sekali. Mereka sudah mula tidak berminat dengan pendidikan yang ada dihadapan mereka akibat mulanya mereka tercicir mengikuti proses PdPR secara lengkap.
Tambahan lagi, ketidakupayaan murid memahami apa yang dipelajari mendorong murid untuk menjadi tertekan sedangkan kaedah dan prinsip dalam menilai mereka sama seperti sebelum-sebelum ini secara bersemuka. Emosi dan dan mental murid-murid tidak boleh dikesampingkan oleh pihak KPM, hal ini bukan menyebabkan generasi akan datang gagal menguasai bidang ilmu yang ada malah mereka menjadi generasi miskin emosi. Ini semua berpunca daripada kurangnya keprihatinan KPM dalam melihat aspek emosi dan mental murid-murid.
Guru juga tidak kurang cabaran yang mereka hadapi sehingga menyebabkan emosi dan ketahanan mental mereka diuji. Dalam tempoh yang panjang, guru-guru terpaksa mengelola sejumlah manusia yang hilang dari radar alam maya akibat hilang minat murid-murid untuk belajar.
Tetapi jiwa guru yang berdedikasi membuatkan mereka teruskan perjuangan itu. Malangnya semangat juang itu luntur hari demi hari apabila guru tidak diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh pihak atasan. Lebih menduga mereka, apabila pelaporan yang begitu membebankan menjadi indikator atau tahap mereka bekerja.
Soal Dr. Hasan lagi, apakah tindakan atau langkah wajar yang KPM ambil untuk atasi masalah mental dan tekanan emosi murid dan guru kesan pandemik? Penulis melihat langkah awal yang perlu KPM ambil adalah memulihkan semula semangat dan motivasi murid serta guru untuk mengamalkan gaya pembelajaran secara bersemuka semula, ia seiring dengan soalan Dr. Hasan itu tadi.
Dengan langkah awal membetulkan konseptual dan fahaman murid-murid, ia akan menjadi pendorong kepada murid-murid untuk meniti langkah yang lebih jauh dalam pendidikan. KPM perlu menyediakan sebuah intervensi yang jelas untuk mengawal semula ketagihan gajet murid-murid akibat pelaksanaan PKP yang begitu lama.
Dr. Hasan juga melihat adakah KPM bersedia menambah jumlah kaunselor pelajar di sekolah – sekolah khusus membantu pihak sekolah dalam memulihkan semula semangat dan motivasi murid dan guru. Malangnya, soalan terkait dengan pemulihan mental murid dan guru ini tidak dijawab oleh MKP.
Akhirnya Dr. Hasan bertegas, setiap langkah yang diambil oleh KPM perlulah menilai tahap keselamatan murid dan guru itu sendiri agar tidak ada yang terkorban. Penulis melihat pidato Dr. Hasan mengoncang para pemikir pendidikan akan beratnya masalah pendidikan yang sedang negara kita alami. Ia sama berat dengan masalah kesihatan dan ekonomi. Ketempangan PdPR secara terus menerus akan membawa tekanan emosi yang besar kepada murid-murid kita. Syabas atas pidato Dr. Hasan tempoh hari.