Radzi ugut guru tidak divaksin, desak PM campur tangan

Oleh NASUHA RAHMAN

Guru-guru yang tidak divaksin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri campur tangan bagi menyelesaikan polemik yang dicipta oleh Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Mereka yang menggunakan nama Malaysian Educator Movement menyifatkan tindakan Radzi Jidin seolah-olah mengugut guru-guru bukan jalan terbaik,

“Kami sebaliknya mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia lebih cerdik merangka polisi yang bersifat adil tanpa amalan “medical apartheid”.

“Kami turut menggesa Menteri Pendidikan berhenti mengugut guru-guru dan tolong rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat sebarang kenyataan media,” katanya dalam kenyataan.

Menurut guru-guru terbabit, tindakan Kementerian Pendidikan merangka garis panduan yang bersifat diskriminasi bagi mereka adalah tidak wajar.

Antara diskriminasi tidak munasabah dan naif katanya guru-guru tidak divaksin tidak boleh menggunakan tandas, tidak boleh berada bersama guru lain dalam tempat sama dan memakai dua pelitup muka di sekolah.

“Garis panduan yang telah dikeluarkan YB Menteri Pendidikan menunjukkan bahawa beliau seorang menteri yang naif.

“Apakah justifikasi di sebalik guru-guru yang tidak divaksin tidak boleh menggunakan tandas di sekolah?” soalnya.

Kumpulan guru ini meminta penjelasan apakah justifikasi di sebalik larangan guru tidak divaksin dihalang untuk mengajar secara bersemuka kerana umum tahu individu yang divaksin atau belum divaksin berisiko dijangkiti serta menjangkiti orang lain.

“Kami juga ingin justifikasi yang munasabah dari YB Menteri Pendidikan, apakah dengan tukar sekolah bermakna guru-guru yang tidak divaksin tidak akan berdepan dengan pelajar?” soalnya lagi.

Malaysian Educator Movement berkata demikian merujuk merujuk kepada kenyataan Radzi Jidin dalam Astro Awani bertajuk, – “Guru-Guru Tidak Divaksin Mungkin Akan Ditukar”.

Guru berkenaan membantah kenyataan Radzi itu kerana dasar kerajaan adalah vaksin COVID-19 merupakan pilihan termasuk kepada frontliners, justeru guru-guru yang menolak divaksin tidak melakukan sebarang kesalahan sebagai penjawat awam.

Tambahnya, setiap individu mempunyai hak yang terpelihara dalam perlembagaan dan guru merupakan penjawat awam yang terlindung dalam perlembagaan di bawah Bahagian 10: Perkara 132 (Perkhidmatan Awam), Perkara 135 (Sekatan Pembuangan Kerja dan Penurunan Pangkat) dan Perkara 136 (Layanan Sama Rata Pekerja-Perkerja Persekutuan).