‘Kalau tiada Covid-19, PH dah buat perhimpunan aman bukan tandatangani MoU’

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) bukan sewenang-wenangnya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan memandangkan krisis kesihatan akibat penularan Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Pulai tersebut, tanpa ancaman pandemik itu, PH lebih berminat mengadakan demonstrasi jalanan dalam meluahkan bantahan terhadap kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat.

“Jangan fikir kita gembira sangat hendak tandatangan memorandum itu. Kalau tidak negara kita berada dalam pandemik Covid-19, kita lebih berminat mengadakan perhimpunan aman yang masih diizinkan dalam kerangka Perlembagaan untuk menyatakan protes terhadap kerajaan tebuk atap dan pintu belakang melalui pelantikan Perdana Menteri kelapan dan kesembilan.

“Kita sebelum ini turun ke jalan raya menentang ISA serta ordinan-ordinan yang sangat bertentangan dengan Perlembagaaan dan hak asasi manusia.

“Kita pernah terlibat dalam perhimpunan Bersih 1 hingga 5 dan berjaya memobilisasikan sehingga 500,000 peserta sehinggakan Najib Razak waktu itu membentangkan pemansuhan ISA dan beberapa ordinan lain.

“Kita mempunyai pengalaman dalam mencari ruang demokrasi yang diizinkan Perlembagaan untuk kita mengadakan perhimpunan aman untuk kita memberitahu mandat rakyat yang diberikan pada PRU-14 telah dicabuli,” jelasnya.

Salahuddin berkata demikian dalam Bual Bicara Politik Semasa menerusi Facebook rasmi AMANAH Pulau Pinang malam tadi.

Sehubungan itu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menegaskan pemeteraian MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan PH pada 13 September lalu adalah demi kepentingan rakyat.

“Kita ada pengalaman (menganjurkan perhimpunan aman) dan ada tokoh-tokoh untuk membawa rakyat ke jalan raya tetapi perhitungan kita sehingga 13 September yang lalu adalah rakyat.

“Bahkan, Pilihan Raya Umum ke-15 pun sebenarnya tidak lama lagi. Tinggal setahun saja lagi.

“Setelah PH pada era Covid-19 sampailah kejatuhan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yasin, kita tidak pernah lengah daripada berusaha mendapatkan kembali mandat rakyat.

“Hanya kita tidak boleh pergi ke jalan raya dan mengadakan roadshow ke seluruh negara kerana Covid-19,” katanya lagi.

Beliau menegaskan MoU yang memperincikan enam teras penting itu tidak sama sekali mengikat PH bahkan jauh sama sekali seolah-olah melutut dan mengalah kepada kerajaan.

“Kita lihat angka ratusan kes kematian dan belasan ribu kes baharu Covid-19 setiap hari. Kita juga melihat sebagai wakil rakyat, setiap hari menerima kunjungan ramai rakyat yang saya anggap semakin lapar, bakul-bakul makanan yang kita sediakan tidak mencukupi.

“Itu belum lagi kita lihat anak-anak muda. Ramai yang hilang pekerjaan. Golongan usahawan kecil pula ramai yang gulung tikar. Warung, kilang-kilang kecil, kedai mereka terpaksa ditutup.

“Jadi kepimpinan tertinggi PH berpendapat dan membuat keputusan biarlah pada ketika ini kita ada ruang waktu setelah ibarat sudah sampai ke dinding, hanya melekat pada angka 105 majoriti dan di sebelah Ismail Sabri mereka berjaya mendapat 114, walaupun kita tidak bersetuju sama sekali dengan cara kerajaan tebuk atap ini.

“Tetapi apa boleh buat. Ini sistem dalam negara kita yang terpaksa kita terima. Kenapa? Kita ada hanya satu Yang di-Pertuan Agong dan satu Parlimen.

“Kita tiada pilihan. Di saat kita lihat isu rakyat itu mesti kita utamakan pada ketika ini dan apabila tiba masa Parlimen dibubarkan kita bebas untuk memilih jalan kita sendiri,” kata Salahuddin lagi.