Didakwa tidak selesa dengan Azmin, Ketua Bersatu Putrajaya kembali sertai Umno

Oleh NASUHA RAHMAN

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir mengumumkan keluar daripada parti itu serta-merta dan kembali menyertai Umno.

Menurut Erwan keputusan itu dibuat kerana beliau percaya hanya Umno dapat memartabatkan dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, perlembagaan Malaysia serta Raja-raja Melayu seperti dinyatakan di dalam asas penubuhan Umno.

Melihat senario ini Pemuda AMANAH Terengganu, Hasbi Muda yakin ramai dalam kalangan pimpinan Bersatu tidak selesa dengan Azmin Ali yang dilihatkan bakal memimpin parti itu.

“Saya difahamkan ramai lagi akan kembali kepada Umno kerana selain Umno sudah kembali pegang jawatan PM.

“Anggaplah Azmin sebagai hadiah dari PH yang tidak seberapa,” kata beliau di Facebooknya.

Dalam pada itu, menurut laporan Umno Online, Erwan berkata, tindakanya itu diputuskan setelah mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

“Ini adalah masa tepat untuk kembali ke pangkuan Umno setelah melihat parti ini berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang telah menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi sewaktu pandemik Covid-19 membadai negara.

“Saya menyatakan sokongan penuh kepada Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

“Saya berharap Perdana Menteri dapat menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya menurut portal berkenaan.

Turut bersama untuk menyertai Umno adalah kepimpinan tertinggi Bahagian Bersatu Putrajaya termasuk naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, ahli jawatankuasa bahagian, kepimpinan Srikandi dan Armada serta lebih 120 orang ahli Bersatu Putrajaya.

Beliau dilaporkan telah menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, petang tadi.

Dr. Erwan turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan kerana menerima permohonan mereka sebagai ahli Umno Bahagian Putrajaya