Orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain mungkin tidak begitu berminat dengan hal-hal berkaitan ekonomi walaupun mereka sedar pentingnya ekonomi kepada mereka.
Kalau pun berminat, mereka sering mencampur-adukkannya dengan politik. Akhirnya, mereka rugi kerana politik dan ekonomi tidak semestinya sentiasa bergandingan.
Lain halnya dengan orang bukan Bumiputera, khususnya orang Cina. Mereka mungkin tidak sebulu dalam bidang politik tetapi mereka sekata dalam isu kepentingan ekonomi dan perniagaan kaum mereka.
Oleh sebab itulah walaupun majoriti orang Cina tidak menyokong parti kerajaan namun mereka terus maju dan berjaya menguasai ekonomi. Mereka membezakan sentimen politik dengan ekonomi.
Ambil contoh program-program ekonomi yang dilancarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), sama ada di bawah Mahiaddin Md Yasin atau Ismail Sabri Yaakob seperti Pelan Pemulihan Negara dan Rancangan Malaysia ke-12. Manakala Bumiputera berbelah bagi kerana emosi politik, orang Cina fokus kepada RM400 bilion yang diperuntukkan untuk rancangan lima tahun itu.
Jadi, adalah amat penting bagi Bumiputera mempelajari, memahami dan mengambil kesempatan daripada program-program ekonomi yang dilancarkan walau daripada segi politik mereka tidak sebulu dengan kerajaan.
Kerajaan pula janganlah mendiskriminasi rakyat jelata berdasarkan afiliasi politik, kronisme dan nepotisme. Apatah lagi rasuah. Kalau rasuah menjadi asas pertimbangan, Bumiputera akan terus terpinggir dan menjadi hamba kecuali yang menerima rasuah.