Tabung Haji: Jangan lagi terpengaruh tohmahan laskar siber

Oleh NASUHA RAHMAN

Kebenaran pasti akan menang.

Baru-baru ini, usaha memulihkan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 diperakui Ketua Audit Negara.

Laporan audit 2019 terbabit mengiktiraf usaha kerajaan pada waktu itu yang patuh piawaian kewangan antarabangsa dan tempatan.

Perkembangan ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada pihak-pihak tertentu yang sebelum ini galak melemparkan tohmahan terhadap Kerajaan PH.

Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng merupakan antara individu yang paling teruk ditohmah berkaitan TH.

Sehinggakan ada yang menularkan gambar menuduh kononnya Guan Eng mempengerusikan mesyuarat berkaitan TH padahal ianya adalah sesi kunjung hormat bersama Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Mengikut Akta Tabung Haji 1995, menteri yang bertanggungjawab ke atas TH ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama Islam dan bukannya Menteri Kewangan.

Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) turut menafikan tohmahan kononnya Kementerian Kewangan tidak bertanggungjawab menutup hotel TH serta memberhentikan pekerjanya.

UJ menegaskan, Guan Eng tidak terbabit dengan sebarang keputusan berkenaan penstrukturan semula atau keputusan yang berkaitan dengan UJ malah beliau juga tidak menghadiri sebarang mesyuarat berkaitan.

Mengulas tohmahan-tohmahan tersebut, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, perkara yang paling mudah untuk meraih simpati politik adalah permainan isu perkauman dan agama.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Raub, fakta dan kebenaran tidak diperlukan kerana bagi pihak tersebut, isu perkauman dan agama lebih muda dimainkan.

“Slogan ‘semua salah DAP’ telah menjadi ‘trade mark bagi’ laskar siber musuh PH dan DAP,” katanya.

Menurut Tengku Zulpuri, isu TH itu merupakan satu contoh tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada DAP, yang dibuat tanpa bersandarkan fakta dan tidak beretika.

Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya terpengaruh dengan persepsi palsu yang cuba diwujudkan pihak tersebut dengan matlamat untuk semata-mata memburukkan DAP dan PH.