Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob meminta rakyat Kelantan di perantauan yang belum lengkap vaksin COVID-19 dinasihat menangguhkan perancangan untuk pulang ke kampung apabila rentas negeri dibenarkan dalam masa terdekat ini.
Katanya, walaupun rindu berjumpa dengan ibu bapa, keluarga dan saudara mara, apa yang lebih penting adalah melengkapkan terlebih dahulu dua dos suntikan vaksin.
Katanya, selain itu, mereka juga disaran melakukan saringan melalui kit ujian kendiri COVID-19 sebelum pulang selain memastikan tidak bergejala
“Sekiranya bergejala, saya mohon jangan balik lagi dan bertenang dahulu serta patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19,” katanya dipetik Bharian.
Ahmad mengakui kadar vaksinasi di Kelantan masih rendah disebabkan ramai rakyat negeri itu berada di luar tetapi beralamat di Kelantan dan kemungkinan mereka sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin.
“Jadi ini yang mungkin menyebabkan kadar vaksinasi di Kelantan tidak sepantas negeri-negeri lain sedangkan kita sebenarnya sudah berusaha memberi suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini melalui program Outreach dan juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Sehingga hari ini, kita sudah mencapai 79 peratus kadar vaksinasi dan ini bermakna hasrat dan sasaran kerajaan untuk mendapatkan 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Kelantan, Panji, di sini, hari ini.