PRN Melaka seharusnya ditangguhkan dahulu

Oleh NASUHA RAHMAN

Kerajaan seharusnya menjadikan sejarah pilihan raya negeri Sabah pada tahun lalu sebagai iktibar sekiranya ingin mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Melaka kali ini.

Menurut Adun Suka Menanti, Kedah, Datuk Zamri Yusof, sejarah PRN Sabah pada tahun lalu membuktikan kes positif Covid-19 mencanak naik seluruh negara sebaik sahaja para petugas termasuk ahli- ahli politik pulang ke negeri masing-masing selepas PRN selesai.

“PRN Melaka tidak sesuai untuk diadakan dalam tempoh terdekat dan ianya perlu ditangguhkan setidak-tidaknya sehingga akhir bulan November yang akan datang.

” Ianya adalah bagi memberi peluang kepada 92 peratus penduduk dewasa yang berusia 18 tahun keatas dapat divaksinasi sepenuhnya terlebih dahulu.

” Adalah dijangkakan sejumlah 91.5 peratus dewasa di Melaka dan Sarawak juga akan dapat mencapai lengkap vaksinasi pada Oktober menurut rekod dos pertama tatkala ini dan bagi membolehkan pergerakan aktiviti maka harus ada lebih dari jumlah yang diperlukan bagi imuniti kelompok, ” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan PKR Negeri Kedah ketika dihubungi.

Tambah Zamri lagi, darurat juga sudah tidak perlu lagi dilaksanakan ketika ini serta pemantauan menurut SOP yang disediakan harus dipatuhi oleh semua pihak bagi memastikan PRN yang hendak dilaksanakan benar-benar selamat sebelum ianya menjadi realiti.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka telah pun dibubarkan baru-baru ini bagi membolehkan PRN Negeri diadakan setelah empat Adun negeri tersebut hilang kepercayaan dan tidak lagi menyokong kepimpinanan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.