Pemimpin PKR diingatkan jangan mengagungkan 4 ADUN pengkhianat, kata AMK Sabah

Oleh NASUHA RAHMAN

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah meningatkan pemimpin PKR jangan dilihat terlalu mengagungkan empat ADUN pengkhianat sehingga menimbulkan rasa jijik dan marah rakyat terhadap Keadilan dan Pakatan Harapan.

Ketua Penerangan AMK Sabah Razeef Rakimi berkata, sejak berlakunya krisis politik Melaka, Pakatan Harapan sering terpalit dengan tuduhan menjadi punca krisis politik di negeri itu walaupun langkah pengkhianatan itu dilakukan oleh ADUN dari Umno, Bersatu dan Bebas.

“Ia juga memberi kesan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan gelojoh serta melanggar MoU yang ditanda tangani antara pihak kerajaan dan pimpinan Pakatan Harapan.

“Pemimpin Keadilan seperti Tian Chua dan Shamsul Iskandar dilihat terlalu mengagungkan empat (4) ADUN pengkhianat sehingga menimbulkan rasa jijik dan marah rakyat terhadap Keadilan dan Pakatan Harapan,” kata beliau dalam kenyataan.

Sebelum ini empat ADUN kerajaan Melaka iaitu Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sehingga tumbangnya kerajaan negeri itu.

Susulan tindakan empat ADUN ini, katanya sekutu PKR dalam Pakatan Harapan juga dilihat kurang senang dengan tindakan ini antaranya DAP yang melihat tindakan mengagungkan Norhizam sebagai jijik memandangkan Norhizam merupakan bekas ADUN DAP yang menjadi salah seorang punca tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan Melaka.

Bagi Angkatan Muda Keadilan, tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip perjuangan Keadilan serta menghina pejuang parti.

“Oleh itu akar umbi menolak sebarang usaha sama ada menerima permohonan mereka menyertai Keadilan atau menjemput mereka menyertai Keadilan.

“Akar umbi juga menolak sekiranya ada diantara empat bekas ADUN ini diangkat sebagai calon sekutu sama ada dalam Pakatan Harapan mahupun Bebas,” katanya.

Beliau menegaskan kesemua kerusi DUN di negeri Melaka perlu ditandingi oleh PKR , DAP dan Amanah mengikut agihan kerusi.

Beliau mengingatkan PKR sepatutnya menjauhkan diri dari kelompok mereka yang mempunyai agenda politik peribadi tanpa mengambil peduli situasi semasa apatah lagi negara sedang berusaha keluar dari pandemik Covid-19.

“Jika pemimpin-pemimpin Keadilan masih mengagungkan keempat-empat pengkhianat ini, kita tidak menolak kemungkinan penolakan rakyat terhadap Keadilan dan Pakatan Harapan kerana jelas telah menghina prinsip yang diperjuangkan,” katanya lagi.