Selepas 22 bulan Pakatan Harapan memerintah di peringkat persekutuan dan juga di negeri Melaka, Umno yang disangka berubah rupanya tidak apabila mendapat semula kuasa, kata bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.
Pengerusi Pakatan Harapan itu menjangkakan Umno sudah mempunyai kesedaran untuk memanfaatkan kesejahteraan rakyat Melaka setelah hilang kuasa selama 22 bulan malangnya ia tidak berlaku.
“Bila Umno dapat kuasa Umno berubah. Umno tidak wajar diberi kepercayaan semula,” katanya sebaik ditanya wajarkah rakyat Melaka memilih Umno dalam PRN nanti.
Katanya, Umno kekal sebagai Umno di mana kuasa adalah wang dan kesempatan berebut kuasa terus menjadi budaya yang masih kekal dan sebati dalam diri mereka.
“Ketika kita hadapi Covid pusat khidmat ada diberi bantuan 100 pek makanan untuk diagihkan kepada 26,000 pengundi jumlah terlalu kecil, selebihnya kita cari sendiri.
“Untuk keluar dari pandemik, dari fasa 2 nak masuk fasa 3 Ketua Menteri salur 1000 pek makanan di kala rakyat ada yang angkat bendera putih kenapa sedikit sangat? Rakyat yang harus dibantu,”katanya.
Justeru, katanya Umno sudah hilang fokus kepada rakyat secara keseluruhan dan jika asas ini tidak diguna pakai pemimpin Umno sukar untuk berubah akhirnya Umno dan rakyat jadi jurang yang cukup besar.
“Apa yang dilalui rakyat tidak dapat dirasai oleh Umno sendiri,” katanya.