PH akan beri sokongan 2/3 usul pindaan Perjanjian MA63

Oleh NASUHA RAHMAN

Pakatan Harapan akan memberi sokongan dua pertiga kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada minggu hadapan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan berkata, pada dasarnya mereka bersetuju menyokong usaha kerajaan ini memandangkan ia adalah sebahagian dari Perkara 5, Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan kerajaan.

“Pakatan Harapan tidak akan bermain politik tetapi akan berikan sokongan dua pertiga kepada pindaan Perlembagaan ini agar hak rakyat Sabah dan Sarawak dapat diperkukuhkan.

“Kami berharap pindaan ini akan mempergiat usaha melaksana segala perkara yang termaktub di dalam MA63 demi menegakkan keadilan buat Sabah dan Sarawak,” kata Majlis Presiden.

Difahamkan kerajaan berniat untuk membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada minggu hadapan.

Malah Kerajaan PH telah berusaha berbuat demikian tetapi tidak berjaya kerana tidak ada majoriti dua pertiga.

Jelas Majlis Presiden pendirian ini adalah sebahagian dari usaha pimpinan Pakatan Harapan sejak sekian lama, termasuk dalam mengiktiraf Hari Malaysia seperti yang diangkat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008, serta pendirian DAP menerusi Lim Kit Siang di Parlimen yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 yang telah mengubah dan menurunkan status Sabah dan Sarawak dari ‘wilayah’ menjadi ‘negeri’.

“Pakatan Harapan akan sentiasa berusaha memperjuangkan hak dan keadilan buat Sabah dan Sarawak,” katanya.