Saya adalah penyokong program vaksinasi. Semua ahli keluarga saya divaksinasi. Tetapi, saya percaya hak untuk golongan yang memilih untuk tidak mahu divaksinasi juga perlu diraikan.
Saya tidak percaya dunia ini perlu disesuaikan untuk golongan manusia tertentu sahaja. Dunia yang tidak meraikan kepelbagaian adalah dunia yang menuju ke arah ketololan dan kemunduran.
Seperti juga keadaannya dengan sentimen kaum dan agama. Saya orang Melayu beragama Islam. Saya bangga dengan darah Melayu saya. Saya yakin dengan kebenaran agama yang saya anuti.
Tetapi saya menolak fahaman ‘supremacy’ satu kaum ke atas kaum lain. Sama ada supremacy orang Melayu ke atas bukan Melayu di Malaysia, ataupun supremacy etnik Han ke atas bukan etnik Han di China, ataupun supremacy kaum kulit putih ke atas kaum kulit hitam di AS, ataupun supremacy orang Eropah ke atas golongan kelompok berketurunan imigran di Eropah. Bagi saya golongan ‘supremacists’ adalah manusia bigot yang hilang pedoman dan kompas moral.
Saya boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dengan baik. Saya boleh membaca Quran dan mampu memahami maksud ayat-ayat Al Quran yang dibaca. Pun begitu, saya cukup selesa bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Bagi saya bahasa adalah anugerah Tuhan yang wajar dimanfaatkan sebaiknya.
Saya tiada masalah dengan mereka yang kuat memperjuangkan bahasa ibunda, tetapi saya kurang minat dengan retorik menghalang perkembangan bahasa-bahasa yang lain. Bagi saya seorang yang multi-lingual itu secara umumnya mempunyai banyak kelebihan dari sudut ilmu dan cara berfikir berbanding seorang yang mono-lingual.
Sebab itu saya tidak menyokong seruan menghapuskan sekolah vernakular, sebaliknya saya percaya lebih usaha perlu dibuat supaya lepasan sekolah vernakular diwajibkan menguasai kefasihan berbahasa Melayu. Malah, saya sangat teringin melihat murid-murid di sekolah kebangsaan juga menguasai pelbagai bahasa lain selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Seorang bangsa Malaysia yang ideal perlu fasih berbahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin, dan Tamil. Kerajaan mungkin wajar mempertimbangkan untuk membayar elaun khas kepada mana-mana warga Malaysia yang menguasai kelima-lima bahasa ini dengan baik dalam pertuturan dan penulisan.