KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong selamat pulang ke tanah air hari ini selepas menamatkan Lawatan Khas ke United Kingdom.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua dan delegasi mendarat dengan selamat di lapangan terbang Pangkalan Udara TUDM Kuantan, Pahang pada jam 3.45 petang hari ini, demikian menurut satu kenyataan daripada Istana Negara.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah,
Turut berada di Pangkalan TUDM, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman dan barisan EXCO Kanan negeri Pahang serta Orang Besar Berempat dan Orang Besar Berlapan negeri Pahang.
Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menjalani saringan COVID-19 di Pangkalan Udara TUDM, Kuantan dan menjalani kuarantin kendiri selaras dengan ketetapan Prosedur Operasi Standard oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bagaimanapun, Baginda berdua turut telah menjalani ujian saringan COVID-19 di London, United Kingdom, tiga hari sebelum keberangkatan pulang.
Lawatan Khas ini merupakan kali kedua Seri Paduka berdua ke United Kingdom sejak KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Lawatan Khas pertama adalah pada bulan Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Disember.
Dalam Lawatan Khas kali ini, Agong telah berkenan berangkat melawat Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford, selain menerima kunjungan Yang Mulia Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan di London.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, General Sir Nicholas Patrick Carter, di London dan berangkat menghadiri majlis perjumpaan semula (reunion) bersama para rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst pada tahun 1978/79.
Menzahirkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda berdua, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut telah berkenan meluangkan masa bertemu dan menyantuni diaspora Malaysia di United Kingdom.
Usai Lawatan Khas ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan beristirahat di London.