Dalam magnum opus Taha Husain, ‘Al Fitnatul Qubra’ yang memetik ucapan Saad abi Waqas r.a: ‘Aku tidak akan turut berperang sebelum saudara sekalian dapat memberikan kepadaku sebilah pedang yang dapat berfikir, melihat dan berkata kepadaku; yang ini benar dan yang itu salah!’.
Apakah pendirian Saad abi Waqqas itu dianggap tidak berprinsip? Tiada integriti? Takut? Jangan pergeseran peribadi mahu diheret kepada gurun yang gersang.
Persoalan yang dibincangkan oleh Taha Husain bukan semata-mata persoalan antara Uthman r.a. dan Ali k.w. dan para pengikutnya, melainkan lebih besar daripada itu. Sistem kekhalifahan Islam sebagaimana yang difikirkan oleh para sahabat r.a. merupakan tajdid siasi paling berani dan mendahului zaman.
Tidak semua matlamat dapat dicapai dengan sistem tersebut. Ini kerana sistem kekhalifahan itu sangat jauh mendahului zamannya.
Hatta pada zaman sekarang pun dengan pelbagai pengalaman politik, dari peperangan hingga kepada politik diplomasi atau soft power pun banyak masalah perhubungan antara manusia tidak dapat diselesai secara tuntas.
Manusia masih belum mampu mewujudkan sistem pemerintahan yang dapat memenuhi keadilan politik dan sosial seperti yang berlaku pada zaman penguasaan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a.
Sepanjang sejarah tamadun manusia mencipta pelbagai sistem seperti raja mutlak, raja berpelembagaan, kepresidenan, perdana menteri, demokrasi dan apa jua sistem sistem dan perlembagaan, pasti wujud pertelingkahan dan perselisihan pandangan.
Hatta menubuhkan satu parti baru atau mencipta sistem politik baru pun bukanlah jalan penyelesaian kepada persoalan manusia yang sentiasa ingin berurusan dengan ‘kuasa’.
Sejarah AMANAH sebagai ‘orang berkuasa’ sangat sedikit berbanding sejarah sebagai ‘pembangkang’. Namun pada kesempatan yang sedikit itu selama 22 bulan sangat memadai untuk kita menghitung diri, mengukur potensi yang seharusnya kita perolehi pada masa hadapan.
Umar al Khatab r.a. pernah berkata pada akhir-akhir pemerintahannya, ‘seandainya pada permulaan kekhalifahanku aku menghadapi keadaan seperti yang kuhadapi akhir-akhir ini, nescaya aku akan bertindak mengambil kelebihan harta si kaya untuk kuberikan kepada kaum miskin.’
Ini adalah persoalan kapital. Ini adalah permasalahan agihan kemakmuran dan peluang dalam pengurusan kuasa yang tidak seimbang. Seperkara lain pula adalah sentimen ‘yang kalah’ terpaksa tunduk kepada ‘yang menang’. Hal-hal inilah antara menjadi punca Khalifah Umar r.a. dibunuh.
Dr. Siddiq Fadhil pernah menekankan peri pentingnnya persoalan ‘politic of power sharing’ dalam tajdid siasi (pembaharuan politik). Ini melibatkan pendekatan inklusif yang menjadi moto parti kita sejak ditubuhkan. Inklusif bukan moto kosong tetapi unsur teras yang membawa Amanah kekal relevan dalam persaingan politik semasa.
Kita harus mengembelingkan segala kekuatan yang ada, yang pelbagai, yang rencam ini untuk membina kekuatan dalam berhadapan monster-monster politik yang memegang kuasa pada hari ini.
Kita tiada pilihan lain. Pakatan politik kita melalui Pakatan Harapan Perak harus diperkukuhkan. Sesama kita kena kuat. Sesama rakan juga perlu kukuh. Rangkaian hubungan kita tidak sekadar bersifat horizontal tetapi harus juga vertical.
Presiden kita sering mengungkapkan, ‘yang buta meniup lesung; yang pekak membakar meriam; yang kurap memikul buluh’ dalam menghargai sumber yang ada di kalangan kita.
AMANAH Perak harus mengangkat ‘politic of idealism’ dalam kerangka pemikiran masyarakat dan membawanya ke akar umbi secara praktikal. Apa yang berlaku pada hari ini, ‘the death of political ideas’.
Yang ada adalah politik emosi. Politik khianat. Hilangnya ‘politik malu’. Menjadi sarang nafsu yang pada akhirnya, rakyatlah menjadi mangsa.
Dua tahun saya memperuntukkan waktu untuk mengolah fikrah ke dalam sebuah buku yang bertajuk ‘Menang dan Terbuang. Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat’. Ini adalah satu pengamatan terhadap tabii politik dan persekitarannya dengan mengambil contoh-contoh yang berlaku di hadapan mata kita semasa PH sebuah kerajaan hingga hilang kuasa.
Buku tersebut adalah pandangan yang mungkin ada kekurangan tetapi setidak-tidaknya suatu penerokaan dan muhasabah dalaman kita.
Dalam berhadapan persiapan pilihanraya umum akan datang, AMANAH Perak perlu mempersiapkan diri sebagai sebuah kerajaan berwibawa. Bukan sekadar menjadi calon pilihanraya atau parti yang bertanding.
Untuk akhirnya, kita haruslah menyedari bahawa kekuatan kita bukan kerana batang tubuh kita semata-mata tetapi ia adalah gabungan pelbagai pihak. Kekuatan jiwa perjuangan.
Doa para kaum yang tertindas dan terpinggir. Marilah perkukuhkan saf pasukan kita pada landasan yang ada. Sirru ala barkatiLah. Semoga Allah SWT memberkati kita semua.
Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada perasmi Konvensyen AMANAH Perak Kali Ke 6, YB Dr Mariah Mahmud, Naib Presiden AMANAH Nasional, para pimpinan, para perwakilan, penyumbang-penyumbang, para media, urusetia konvensyen dan seluruh pihak yang menjayakan konvensyen ini samada secara langsung atau tidak. Semoga kita bertemu pada konvesyen akan datang pada kesempatan lain.
Tulisan ini merupakan teks ucapan penulis semasa Konvensyen AMANAH Perak Kali Ke 6 di Ipoh.
muhaiminsulam.blogspot.com