Kerajaan digesa supaya mengambilkira keluhan golongan kecil Bumiputera apabila menyalurkan peruntukan RM11. 4 bilion bagi memperkasakan agenda Bumiputera sepertimana yang diumumkan semasa bajet 2022 baru-baru ini.
Malah ramai dikalangan usahawan, petani, pekebun, penternak dan peniaga kecil Bumiputera mengeluh tidak mendapat manfaat dari peruntukan yang diumumkan selama ini kerana hanya segelintir sahaja yang mendapat jalan mudah melalui hubungan politik dan meraih bajet yang diperuntukan.
Menurut Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid, bajet yang dibentangkan Menteri Kewangan minggu lepas menyatakan RM6. 6 bilion disalurkan bagi kemudahan pendidikan anak Bumiputera di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi ologi Mara(UiTM) dan Yayasan Peneraju (Peneraju).
“RM4. 8 bilion pula diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan peeniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun) dan Dana Kemakmuran Negara.
” Sekiranya benar matlamat bajet 2022 bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus diberikan keutamaan dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum di negara ini, maka sistem penyampaian mesti disemak dan dikaji semula,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.
Tambahnya, Teras menggesa kerajaan supaya menyemak dengan teliti sistem penyampaian sekiranya benar mahu agenda memartabatkan Bumiputera direalisasikan.
Sehubungan itu tegasnya, pengurusan setiap agensi yang diamanahkan untuk mengendalikan peruntukan haruslah bersih dari amalan rasuah dan campur tangan politik serta prosedur skim. bantuan dan pinjaman yang membebankan pengusaha kecil dan sederhana Bumiputera harus dikaji semula agar tiada golongan yang terpinggir.
Selain itu katanya, agensi pemantauan agenda pemerkasaan juga perlu mengeluarkan laporan enam bulan sekali supaya prestasi pencapaian yang disasarkan menjadi realiti.