Bolehkah Umno-BN kekal prestasi di Melaka?

Oleh NASUHA RAHMAN

Parti-parti politik sedang giat menjalankan usaha untuk menghadapi pilihan raya negeri Melaka yang akan diadakan pada 20 November akan datang.

Secara umum tiga koalisi akan menyertai pilihanraya tersebut. BN sebagai koalisi tradisi yang sudah berakar umbi di Melaka, diikuti PH yang memenangi pilihanraya negeri yang lepas pada 2018 tetapi dijatuhkan hampir dua tahun kemudian, dan Perikatan Nasional (PN) yang bekerjasama dengan BN di peringkat negeri. Cuma kejatuhan kerajaan BN-PN ini terjadi disebabkan tindakan empat orang ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri yang juga daripada BN.

Sudah tentu senario persaingan kuasa antara ketiga-tiga koalisi ini cukup menarik untuk diperhatikan.
Ini disebabkan kerjasama dan konflik berjalan serentak antara dua blok atau koalisi yang memerintah – BN dan PN. Di peringkat Persekutuan BN dan PN berkerjasama untuk membentuk kerajaan Persekutuan namun pergeseran antara BN, khususnya Umno sebagai parti terbesar dan terkuat di dalamnya, dan PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan, STAR dan SAPP semakin hari semakin runcing nampaknya. Secara tegas Umno (dan BN) tidak menyertai PN tetapi hanya berpegang kepada kerjasama politik yang mempastikan Umno dan PN terus boleh berkuasa.

Sungguhpun begitu, saban hari pergeseran dalam isu-isu politik antara Umno dan PN jelas kelihatan. Namun ini belum menjejaskan kestabilan kerajaan Persekutuan kerana adanya perjanjian antara kerajaan (iaitu BN-PN sebagai parti pemerintah) dengan pembangkang iaitu PH.

Di Melaka situasi sama tidak wujud. Bahkan masalah dalaman Umno nampaknya melimpah ke luar sehingga kerajaan yang dipimpin oleh Ketua Menteri daripada parti itu tumbang hasil tindakan wakil rakyat yang terdiri juga daripada Umno.

Apapun konflik dalaman atau luaran, kini Melaka akan memilih dan pilihan bagi rakyat Melaka adalah antara dua atau tiga koalisi tersebut.

Bagi pemerhati, dua koalisi – BN dan PN (dan yang lebih khusus, Umno dan Bersatu) – yang menjalin kerjasama sebelum ini memikirkan soal peluang membentuk kerajaan di sebalik kerjasama tersebut dan itulah akhirnya mereka berjaya menumbangkan kerajaan PH yang dipilih rakyat. Yang juga digembar-geburkan ialah kerjasama ini “menguatkan kuasa politik Melayu”, apatah lagi apabila tiga parti Melayu bergabung di dalamnya. Retorik “perpaduan Melayu” dicanang untuk menjustifikasi kerjasama antara ketiga-tiga parti politik itu dan untuk menarik sokongan dalam kalangan massa Melayu yang mahu melihat “perpaduan” antara parti-parti tersebut.

Bagaimanapun realiti adalah sebaliknya. Pergeseran yang kita sedang menyaksikan sekarang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Perlu diingat kita berhadapan dengan tiga “parti politik” bukan tiga organisasi kompang, atau tiga badan kebajikan Melayu. Yang organisasi atau badan-badan inipun belum tentu tidak dilanda perpecahan,apatah lagi parti politik.

Kuasa adalah asas bagi penubuhan sesebuah parti politik. Tiada parti politik diwujudkan dalam sistem demokrasi kita bagi buat kerja kebajikan atau buat kerja-kerja lain selain berpolitik untuk mendapat kuasa. Kerana itu juga ramai yang merasa pelik kenyataan parti yang mendakwa “perjuangkan Islam”, menyatakan tidak berhasrat untuk bertanding pilihanraya kerana mahu memberi laluan kepada pihak lain dan mengelakkan pertembungan.

Sejarah telah menunjukkan bahawa Umno merupakan parti Melayu beradftar terawal di tanahair. Dan sejak mula telah membina kekuatannya dan mendapat sokongan orang Melayu kebanyakan. Parti-parti serpihan Umno tidak bertahan lama, contoh terakhir sebelum Bersatu iaitu Parti Melayu Semangat 46 yang bubar pada pertengahan 1990-an. Kini Bersatu ingin bersaing kuasa dan pengaruh dengan Umno namun seperti pepatah Cina “tiada mungkin dua harimau berada di atas sebuah gunung”, justeru itu salah satu daripadanya mesti dikorbankan. Faktanya, kedua-dua parti bersaing untuk pengaruh daripada kelompok sasaran yang sama. Apakah Umno akan membiarkan Bersatu membina kekuatannya untuk muncul sebagai pesaing yang menggugat kedudukan dan masa depan Umno sendiri?

Sebab itulah Perhimpunan Agung Umno yang lepas memutuskan bahawa tidak akan wujud sebarang kerjasama dengan Bersatu. Rasional di sebalik keputusan itu ialah survival Umno, dan masa depan Umno. Ditambah dengan kenyataan kedudukan Umno sebagai parti dominan dalam kerajaan yang akan terhakis sekiranya Umno terpaksa berkongsi kerusi pilihanraya dengan Bersatu atasa nama kerjasama. Perkiraan inilah yang antara punca utama kenapa Umno menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu.

Justeru itu, Melaka menjadi medan pertama barangkali untuk Umno menguji kekuatannya tanpa Bersatu. Secara umum, Umno kini sudah mempunyai kekuatan baru – yang dipulihkan oleh Pas sebenarnya menerusi keputusan Pas mahu bekerjasama dengan Umno sejak tahun 2015, tetapi menjadi realiti pasca PRU14 yang lalu. Sejak Pas memberi kekuatan kepada Umno, siri pilihanraya kecil yang diadakan selepas 2019 dimenangi BN yang diterajui Umno. Kemenangan besar Tg Piai misalnya walau calonnya daripada MCA adalah kemenangan Umno sebenarnya. Dengan perkembangan tersebut, perpindahan Bersatu ke kem BN dan Pas dalam usaha “kerjasama” tadi, menjadi gugatan buat Umno. “Perpaduan” yang diharapkan hanya akan tinggal harapan kerana factor-faktor yang dijelaskan di atas.

Saya pernah menekankan betapa “perpaduan” orang Melayu Islam hanya boleh terjadi sekiranya wujud hanya satu entiti politik mewakili mereka atas dasar Melayu-Islam. Ini bermakna parti-parti ini bukan kekal berasingan sebagai tiga parti dan menandatangani ‘perjanjian’ atau sebagainya tetapi dua daripadanya perlu bubar dan masuk ke dalam parti yang tinggal ataupun ketiga-tiganya bubar dan membentuk satu parti yang baru mewakili “perpaduan” yang dikehendaki.

Satu lagi sisi yang menarik ialah peranan dan nasib Pas dalam PRN Melaka.

Kita sedia maklum Pas tidak mempunyai apa-apa kekuatan di negeri itu. Ia bergantung kepada Umno dan Bersatu untuk mendapat laba politik. Kemungkinan kalau wujud kerjasama antara ketiga-tiga parti menghadapi PRN, Pas berpeluang memenangi beberapa kerusi. Parti yang mendakwa “memperjuangkan Islam” itu sebenarnya tersepit dengan perkembangan terkini antara Umno dan Bersatu. Kenyataan-kenyataan merayu dan memujuk beberapa pemimpin Pas jelas menunjukkan kebimbangan melampau mereka akan kehilangan kerajaan di negeri itu, yang bakal menyaksikan parti yang mendakwa parti Islam itu tidak berpeluang menduduki jawatan-jawatan kerajaan yang boleh meningkatkan pengaruh kepada parti tersebut.

Itulah perasaan “cemas” yang dialami parti yang kurang berpengaruh di Melaka.
Kini tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk penamaan calon. Sementara PH melangkah ke hadapan dengan kesatuan dan ketegasan, di pihak BN dan PN masih belum menampakkan apa-apa ketegasan yang serupa dari segi kesatuan.

Seperti yang dinyatakan di atas, Umno mungkin mahu menggunakan PRN Melaka sebagai medan ujian kekuatannya menjelang PRU yang akan datang. Dan Melaka secara tradisinya adalah “Umno-state” untuk sekian lama. Masih ada peluangkah untuk parti itu mengekalkan prestasinya kali ini?