Setakat ini, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan telah lulus ujian pertama dalam usaha untuk mengembalikan maruah parti melalui PRN Melaka.
Ia berikutan, sementara ketiadaan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di dalam negara, beliau yang merupakan Pengarah PRN Melaka bagi BN berjaya mengekalkan pendirian Umno bertanding solo dan tidak bekerjasama dengan sesiapa, khususnya dengan Bersatu.
Ketetapan melalui PAU 2020 ialah memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU-15 dan kejayaan melaksanakan ketetapan itu lebih awal daripada sepatutnya iaitu dalam PRN Melaka lagi sudah tentu merupakan suatu tanda kecemerlangan buat Umno menjelang PRU-15 akan datang.
Ketegasan Mohamad Hasan atau Tok Mat dalam mempertahankan maruah Umno itu pasti akan menjadi suatu lonjakan kejayaan buat dirinya yang sekaligus juga mendatangkan kegembiraan kepada ahli akar umbi parti di seluruh negara.
Ketegasan Tok Mat itu tampak senada dengan Zahid Hamidi yang berulang kali menegaskan Umno hanya mahu bertanding solo di Melaka.
Hal ini berbeza dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang dalam waktu sama sentiasa berusaha membawa Umno bekerjasama, bukan saja dengan Pas, tetapi juga dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.
Selain dilihat cuba mengkhianati ketetapan akar umbi yang diputuskan melalui PAU 2020 lalu, pendirian Ismail Sabri yang menawarkan dirinya untuk melakukan rundingan bagi mengelak pertandingan tiga penjuru turut digambarkan sebagai cubaan menyelamatkan nasib Bersatu semata-mata.
Lebih buruk lagi, usahanya menjadi jururunding dan pendamai itu, tentunya dengan tujuan agar dirinya menjadi hero jika berjaya mengelakkan tiga parti Melayu daripada berlaga sesama sendiri, turut menemui kegagalan akhirnya. Dengan itu, sekali lagi kewibawaan dan kemampuannya dilihat telah tercalar.
Dalam keadaan ini, sebagaimana disebut dalam artikel sebelum ini, ia pastinya mendatangkan kesukaran kepada Ismail Sabri sama ada untuk turun atau tidak berkempen dalam PRN Melaka ini.
Bagi Tok Mat pula, dengan lulus ujian pertama iaitu meletakkan maruah Umno di tempat yang sewajarnya menjelang PRU-15, beliau kini harus memastikan ujian kedua juga dilaluinya dengan penuh jaya.
Ujian kedua yang bakal menunggunya itu tidak lain ialah hari pengundian pada 20 November depan.
Jika Umno dan BN berjaya memenangi PRN Melaka dalam pertembungan tiga penjuru nanti dan oleh kerana Zahid Hamidi akan berada di Jerman sehingga selesai hari pengundian, bermakna Tok Matlah “jenderal perang” yang layak dikalungkan anugerah kejayaan.
Untuk kali yang seterusnya, sekali lagi kejayaan Umno dan BN itu nanti adalah suatu pukulan buat Ismail Sabri yang tidak yakin kemenangan mampu dicapai melalui gerakan solo, tetapi lebih berharap kepada bantuan daripada Pas dan juga Bersatu.
Memahami kedudukan Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes mahkamah yang mungkin masih panjang, jika PRU-15 diadakan tahun depan misalnya, bersama kejayaan BN di Melaka ini, tidak syak lagi Tok Mat adalah calon Perdana Menteri yang paling dikehendaki sekali mewakili Umno.
Kejayaan BN di Melaka dengan sendirinya akan membuatkan Ismail Sabri terketepi, bukan saja untuk dikekalkan lagi sebagai calon Perdana Menteri mewakili Umno, malah tidak mustahil kedudukannya dalam parti semakin tidak dipeduli.
Kepada Tok Mat, jangan sesekali mensia-siakan peluang menjadi Perdana Menteri PRN Melaka ini.