Hipotesis awal PRN Melaka, melihat siapa lebih berpeluang

Oleh BORHAN AHMAD

Penamaan calon PRN Melaka usai pada 8 November 2021 yang menyaksikan 112 calon daripada 11 parti politik dan bebas akan bersaing mengadu untung nasib pada hari pembuangan undi 20 November 2021 nanti.

Seperti PRU14 pada 2018, gelanggang PRN 2021 ini akan menyaksikan persaingan sengit sehingga garisan penamat, sekurang-kurangnya tiga gabungan besar iaitu PH, BN dan PN akan memberi impak bermakna terhadap kempen dan keputusan nanti.

Setiap gabungan parti sama ada PH, BN dan PN mempunyai peluang dan kelebihan masing-masing, manakala parti-parti lain seperti Putra, Iman serta bebas dijangka hanya berperanan untuk memeriahkan pesta.

Pakatan Harapan

PH adalah pemenang gelanggang 2018 sebelum kemenangan tersebut diragut di luar peti undi pada 2020 lantaran penjajaran semula politik tanah air, walau apa justifikasi sekalipun, kita perlu mengakui mereka adalah juara sebenar di Melaka dalam pertembungan sebelumnya.

Adly yang mempunyai rekod baik semasa menjadi ketua menteri telah dinamakan sebagai calon ketua menteri oleh PH.

Menuju hari penentuan pada 20 November nanti, adakah PH masih berpeluang?

Berdasarkan situasi semasa, PH masih berpeluang, namun dalam masa sama juga berhadapan dengan ancaman yang akan meragut mahkota 2018 daripada mereka.

Ada beberapa elemen yang memberi kelebihan kepada PH seperti faktor geografi dan demografi pengundi, prestasi 22 bulan memerintah sebelumnya, serta populariti mantan Ketua Menteri mereka iaitu Adly Zahari.

Melaka berada dalam zon selatan, dalam kajian-kajian kami sebelum ini pengundi di zon selatan lebih terbuka dalam corak pengundian iaitu tidak terlalu terikat kepada parti politik, mengutamakan isu dan prestasi calon dalam membuat keputusan, serta agak lunak untuk menerima PH.

Mereka mempamerkan tingkah laku politik yang berbeza berbanding zon timur dan utara, namun belum mencapai tahap progresif secukupnya seperti yang ditunjukkan oleh pengundi di zon tengah khususnya Selangor dan Kuala Lumpur.

Melaka juga mempunyai demografi pengundi yang bervariasi dalam konteks etnik yang menyaksikan pengundi Melayu hanya 60 peratus, selebihnya etnik Cina 30 peratus, India enam peratus dan etnik lain sekitar tiga peratus.

Demografi ini adalah kelebihan PH kerana pola pengundian berasakan etnik masih signifikan dalam konteks politik Malaysia, bahkan pemilih Cina dan India adalah faktor penting memberi kemenangan kepada PH dalam PRU14 lalu.

Selama 22 bulan memerintah Melaka, prestasi PH agak baik serta menjadi buah mulut rakyat Melaka, elemen ini sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada mereka untuk mendekati pengundi dan memujuk diberi peluang sekali lagi dalam PRN kali ini.

Begitu juga dengan Adly Zahari, walaupun tidak sampai dua tahun sebagai Ketua Menteri, namun beliau berjaya memberi impak besar pada penerimaan rakyat, tinjauan di lapangan menunjukkan penerimaan rakyat terhadap beliau sangat baik.

Ini akan memberi modal besar kepada PH jika mereka berani menamakan Adly sebagai calon KM untuk mentadbir Melaka jika diberi kemenangan oleh pengundi pada 20 November ini.

Walaupun ada beberapa kelebihan, namun PH juga dibelenggu oleh beberapa ancaman dan ketidakpastian seperti tahap sokongan semasa pengundi etnik Cina, kesediaan keluar mengundi pemilih Cina serta cabaran mengekalkan peralihan (swing) pengundi Melayu yang diperolehi pada 2018.

Walaupun hampir sepenuhnya etnik Cina memberi undi kepada PH dalam PRU14, namun bermula PRK Tanjung Piai etnik Cina mula menjauhi PH disebabkan beberapa isu ketidakpuasan hati, situasi tersebut terus terbawa ke PRK Slim selepas itu.

Selepas langkah Sheraton dan terbentuknya kerajaan yang dilihat sebagai dominasi Melayu-Muslim oleh mereka, etnik Cina dilihat mula mendekati PH semula, namun sokongan ini tidak sekuat dan sebulat menjelang PRU14.

Untuk menang PH perlu memungut semaksimum mungkin undi daripada etnik Cina khususnya untuk mengekal kerusi yang dimenangi oleh PKR, Amanah dan Bersatu (semasa Bersatu dalam PH) sebelumnya.

Kalaupun etnik Cina kembali cenderung kepada PH, namun kebarangkalian kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina nanti turut berpotensi meragut kemenangan yang mereka harapkan.

Begitu juga undi etnik Melayu yang swing dalam PRU14 lalu, undi tersebut turut bertindak sebagai faktor kemenangan PH di Melaka apabila berjaya memungut sehingga 29 peratus undi Melayu.

Banyak faktor yang mempengaruhi swing undi Melayu pada 2018 seperti GST, 1MDB dan keyakinan terhadap elemen Melayu dalam PH apabila diketuai oleh Tun Dr Mahathir.

Sekarang semua elemen tersebut sudah tiada, jika undi swing tersebut kembali kepada Umno/BN walau hanya sekitar 10 peratus, sudah memberi kesan besar kepada peluang PH untuk mengulangi magik 2018.

Barisan Nasional

BN yang diketuai oleh Umno juga mempunyai peluang untuk keluar sebagai pemenang pada 20 November nanti, kelebihan terbesar Umno adalah pengundi teras akar umbi yang kuat, paling ampuh berbanding parti-parti lain yang bertanding dalam PRN kali ini.

Struktur pengundi mengikut DUN juga memberi kelebihan kepada Umno apabila pengundi Melayu yang hanya membentuk 60 peratus komposis pengundi keseluruhan tetapi bilangan DUN yang dikuasai majoriti Melayu melebihi 60 peratus.

Di hari penamaan calon, BN telah melanggar SOP yang ditetapkan oleh SPR yang terletak di bawah kerajaan BN.

Inilah yang memberi gambaran keputusan PRU14, walaupun BN hanya mengumpul 38 peratus undi popular berbading 51 peratus PH, namun BN hanya kalah tipis berbeza dua kerusi apabila memperolehi 13 berbanding 15 DUN oleh PH.

Sekali lagi situasi ini akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRN ini, jika mereka berjaya mengembalikan sebahagian undi swing Melayu yang hilang dalam PRU14 lepas, mereka berpotensi untuk mendominasi kembali kawasan-kawasan bercampur dengan majoriti pengundi Melayu, khususnya lima kerusi yang hilang 2018 dulu.

Jika swing kembali itu mencukupi, BN berpotensi mengungguli persaingan dengan hanya bergantung kepada kerusi yang ditandingi Umno, tanpa perlu terlalu mengharap kemenangan oleh MCA dan MIC.

Namun sedikit merencatkan kempen BN apabila mereka tidak memiliki tokoh berkaliber untuk dinamakan sebagai Ketua Menteri, sama ada Datuk Seri Sulaiman Md Ali atau pengerusi perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kedua-duanya tidak mempunyai aura mencukupi untuk dijadikan modal besar oleh BN.

Begitu juga prestasi memimpin kerajaan sekitar 19 bulan sebelum ini juga tidak banyak membantu, polisi dan prestasi kerajaan pimpinan Umno sepanjang tempoh tersebut tidak meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Melaka.

Walaupun kerajaan yang diketuai oleh Sulaiman tersebut adalah kerajaan campuran PN, tetapi rakyat menilai prestasi kerajaan tersebut sebagai kerajaan BN kerana diketuai oleh Umno dan majoriti anggotanya daripada BN.

Perikatan Nasional

Seperti catatan saya sebelum ini, PN bertuah apabila Pas bersetuju untuk bertanding menggunakan lambang gabungan tersebut.

Walaupun Pas tidak kuat dan hanya mengumpul sekitar 10 peratus undi dalam PRU14 lalu, namun siri-siri PRK selepas PRU itu menyaksikan Pas mengekalkan bilangan undinya untuk membantu Umno memenangi siri-siri PRK tersebut.

Tindakan Pas yang memilih untuk bertanding dibawah logo PN telah melukakan hati ramai penyokong Umno di Melaka.

Menjelang pembuangan undi 20 haribulan nanti, PN boleh berharap terhadap undi deposit daripada Pas tersebut untuk mengisi kotak undi sebelum meneruskan lagi kempen bagi mencari sebanyak mungkin tambahan daripada segmen lain.

Keputusan pemilihan naib presiden dan AJK kerja Pas Pusat dalam muktamar hujung minggu lepas yang menyaksikan kemenangan majoriti pimpinan pro PN juga bakal menambahkan lagi tonik kempen PN di Melaka.

Selain itu PN juga masih boleh berharap kepada populariti Tan Sri Muhyiddin yang bertungkus lumus turun berkempen. Sepanjang mentadbir kerajaan pasca Langkah Sheraton, populariti Muhyiddin sebagai PM agak tinggi walaupun penerimaan terhadap parti Bersatu itu sendiri agak lemah.

PN boleh menggunakan sosok ini untuk cuba mengutip sebanyak mungkin undi daripada pelbagai segmen yang wujud untuk memberi saingan bermakna untuk membuat kejutan, atau sekurang-kurangnya mengumpul cukup undi sebagai semangat untuk menuju PRU15 nanti.

Sehingga kini jentera kempen PN agak ghairah, ini sedikit sebanyak akan memberi momentum kepada mereka untuk menyaingi BN dan PH.

Kelemahan PN adalah tidak memiliki akar umbi yang kuat, mereka tidak mempunyai undi teras yang boleh diharapkan untuk mengungguli persaingan.

Antara ketiga-tiga parti komponen PN, hanya Pas yang ada sedikit akar umbi di Melaka, manakala sokongan terhadap Bersatu dan Gerakan masih kabur.

Dua kerusi yang dimenangi dalam PRU14 oleh Bersatu adalah sokongan pengundi terhadap semangat PH, tidak boleh dikira sebagai kekuatan Bersatu secara individu.

Begitu juga wakil rakyat Bersatu lain yang ada sekarang, semuanya adalah yang melompat ke parti tersebut daripada parti lain, bukan kemenangan atas tiket Bersatu.

Satu lagi kekurangan PN adalah kemampuan Gerakan untuk menyaingi DAP dan MCA di kawasan etnik Cina, sehingga kini belum ada sebarang indikator yang menunjukkan sokongan kepada Gerakan telah pulih.

Jika Gerakan gagal menyaingi DAP dan MCA di kerusi pengundi Cina, PN memulakan kempen Melaka ini dengan ketinggalan awal sebanyak lima kerusi.

Penutup

Di atas kertas, PRN Melaka akan menyaksikan pertembungan sengit antara BN dan PH, namun PN masih berpeluang untuk membuat sedikit kejutan jika kena dengan strategi pemujukan terhadap pengundi.

Kerusi-kerusi marginal seperti Lendu, Taboh Naning, Gadek, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Klebang, Rim dan Merlimau akan jadi penentu siapa yang akan mendominasi tahta 20 November nanti.

Semua kerusi tersebut dimenangi dalam PRU14 dengan majoriti kurang 1000 undi, sedikit swing pengundi akan merubah keputusan, bakal menjadi rebutan hangat antara parti-parti yang bertanding, serta berpotensi menentukan siapa yang akan keluar sebagai pemenang PRN Melaka.

—————-

Tulisan asal Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim ini disiarkan di facebook beliau.
November Rain, Terengganu.