Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti menarik bukan sahaja kerana diadakan ketika Covid-19 masih mengancam, tetapi juga kontroversi tindakan Pakatan Harapan (PH) mengambil dua mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno/Barisan Nasional (BN) yang berpaling tadah sebagai calonnya.
Ramai yang melihat langkah PH itu sebagai melanggar prinsip apabila menerima wakil rakyat yang melompat parti.
Rakan PH sendiri, iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah menyatakan ketegasannya menolak ahli politik yang sedemikian. Wakil rakyat tersebut adalah Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan.
Idris akan bertanding di DUN Sungai Udang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), sementara Nor Azman di DUN Pantai Kundor atas tiket Parti Amanah Negara (AMANAH).
Sekali lihat, ia memang mengecewa dan mengejutkan, apatah lagi PH telah menandatangani persetujuan mewujudkan akta anti lompat parti.
Namun demikian, ada pihak yang melihat dengan mendalam beranggapan Majlis Presiden dan kepimpinan PH Melaka telah meneliti dan membuat pertimbangan semasak-masaknya.
Walaupun Idris dan Nor Azman dianggap melompat parti, tetapi sebenarnya kedua-dua bekas Adun Umno itu tidak sedemikian.
Keduanya hanya menarik sokongan, lalu dipecat serta-merta dari parti yang mereka anggotai sekian lama itu.
Ertinya, ia berbeza dengan tindakan khianat, serta berpaling tadah Ahli-Ahli Parlimen dan Adun-Adun terbabit sehingga jatuhnya kerajaan Persekutuan, dan beberapa kerajaan negeri PH sebelum ini.
Sebagai parti yang membawa pendekatan khemah besar, PH memang menerima mana-mana parti dan individu yang ingin bersama-sama dengannya menolak kleptokrasi, melakukan reformasi, memulihkan tadbir urus, serta tata kelola negara, dan kerajaan negeri.
PH menghormati sikap serta pendirian Idris dan lain-lain yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Kerajaan BN Melaka yang telah rosak, dan menyimpang dari urus tadbir murni.
Sebagai khemah besar, PH tentu dapat mempertimbang serta menerima mana-mana parti dan individu yang mahu bersama-sama merealisasikan aspirasinya.
Pengundi dan rakyat negeri Melaka diyakini boleh menilai kebolehan, keupayaan, ketelusan dan keadilan dan keberkesanan pentadbiran di bawah kepimpinan mantan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari walaupun PH hanya mentadbir negeri selama 22 bulan.
Justeru, amat wajar mandat yang telah diberikan oleh rakyat Melaka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dikembalikan semula kepada PH melalui peti undi ketika PRN Melaka nanti.
Ketika isu kian panas, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya tampil menegaskan bahawa bekas Adun Umno yang dianggap melompat parti, dan menjadi faktor pelaksanaan PRN Melaka bukanlah ‘pengkhianat’.
Menurut Ketua Pembangkang itu pada 6 November lalu, mereka berempat hanya mahu mengembalikan mandat rakyat kepada PH yang dapat menguasai Melaka hasil PRU14.
Anwar yang juga Presiden PKR bertanya jika kita menyebut istilah pengkhianat, perbuatan itu dilakukan kepada siapa. Seperti yang disebut oleh PH Melaka, PKR, DAP dan AMANAH, tambah Anwar, empat Adun itu menarik sokongan untuk membolehkan parti yang mendapat mandat dalam PRU14 kembali berkuasa.
Bagi Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, itu bererti Idris dan Nor Azman bukan mengkhianati amanah kepada rakyat. Ujar beliau, mereka berbincang bersama-sama PH Melaka dengan sikap yang jelas untuk mengembalikan mandat yang dirampas.
PRN Melaka diadakan selepas empat Adun menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Selain Idris dan Nor Azman, dua Adun lagi adalah Datuk Noor Effandi Ahmad (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)/Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas/Pengkalan Batu).
Menurut Anwar, keputusan meletakkan Idris mewakili PKR dan Nor Azman pula AMANAH dibuat oleh Majlis Presiden PH kerana pengalaman serta kesetiaan mereka kepada perjuangan, dan sikap rakyat di bawah.
Memang ada pemimpin PKR yang layak diletakkan sebagai calon, tetapi jelas Anwar beliau mengambil kira pengorbanan kedua-duanya, kesediaan untuk bersama-sama PH, dan sikap konsisten mereka selepas menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.
Walau bagaimanapun, Anwar tidak menjelaskan secara terperinci mengenai status Noor Effandi. Alasan dan hujah lain yang digunakan oleh Anwar adalah Dun Melaka telah dibubarkan, dan kerana itu tidak timbul lagi isu lompat parti.
Lebih menarik, Anwar memberitahu beliau juga pada peringkat awal ragu-ragu untuk menerima Idris dan Nor Azman sebelum akhirnya bersetuju menerima mereka.
Walaupun DAP lebih tegas dalam hal ini kerana tidak meyakini penyertaan bekas ADUN-ADUN Umno itu, tetapi, kata Anwar, selepas dipanggil oleh Presiden Umno, Idris menyatakan sikap untuk tidak boleh menerima penyelewengan dan rasua dalam parti berkenaan.
Pendirian Idris dan Nor Azman yang tegas itu jelas Anwar, telah memberikan lebih keyakinan kepada rakan-rakan dalam PH.
Berdasarkan penjelasan Anwar, pengambilan mantan Adun-Adun itu tidak salah kerana mereka menjatuhkan kerajaan bukan pilihan rakyat – Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan Negeri Melaka bukan selepas memenangi PRU atau PRN.
Tidak salah menerima pihak yang mahu membantu mendapatkan semula mandat rakyat yang telah dirampas.
Satu lagi perkara yang membuat PRN Melaka menarik adalah kedudukan BN dan PN. Pada peringkat persekutuan, keduanya bergabung membentuk Kerajaan Persekutuan.
Namun demikian, dalam PRN Melaka, BN dan PN bertembung sesama sendiri. Memang aneh dan kelakar. Rasanya tiada politik gila sebegini di negara lain.
Keadaan ini turut menarik perhatian Datuk Mahfuz Omar. Beliau mengkritik kerajaan Persekutuan yang disifatkannya sebagai gagal menstabilkan keadaan politik negara.
Semasa berucap dalam sesi perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 8 November lalu, Ahli Parlimen Pokok Sena/AMANAH itu menegaskan PH sangggup menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kestabilan politik.
Malangnya, kerajaan Persekutuan yang mahu dikenali sebagai Keluarga Malaysia (KM) disifatkan oleh beliau sebagai dalam keadaan porak-peranda yang kini berlawan sesama sendiri dalam PRN Melaka.
Jelas Mahfuz, MOU adalah untuk kestabilan politik dan (keadaan) porak-poranda akan membawa kepada ketidakstabilan politik.
Mahfuz turut mengatakan keadaan ini aneh dan bertentangan, kerana pada peringkat Persekutuan, BN-PN adalah kerajaan bersama-sama, tetapi tiba-tiba di Melaka, keduanya berebut kuasa pula. Jadi, Mahfuz bertanya apakah kacau-bilau ini yang mahu ditawarkan kepada rakyat Melaka.
Proses penamaan calon bagi PRN Melaka telah berlangsung pada 8 November lalu dengan 112 calon bertanding secara keseluruhannya.
BN,PN dan PH masing-masing meletakkan calon di semua 28 kerusi, yang bererti semua kerusi Dun Melaka yang ditandingi kali ini adalah pertandingan pelbagai penjuru. Ini juga perkara menarik yang boleh dianggap rekod.
Paling ketara adalah di DUN Tanjung Bidara, yang akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Ketua Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dan calon PKR, Zainal Hassan.
Sebagaimana Mahfuz, saya turut mempersoal tindakan Mas Ermieyati, timbalan menteri dalam pentadbiran perdana menteri kerana bertanding menentang calon parti ‘bos’nya.
Tidak diketahui apakah Mas Ermieyati telah meletakkan jawatan atau tidak, tetapi ia adalah perkara yang perlu dilihat.
Mahfuz juga bertanya mengenai hubungan Pas-Umno, dengan membangkitkan kenyataan seorang tokoh parti itu yang mahu Umno kalah dalam PRN Melaka untuk mengajar politik yang jujur dan bersih kepada parti itu.
Dalam hal ini, sekali lagi Mahfuz mempersoal apa yang boleh ditawarkan oleh BN dan PN kepada rakyat Melaka. Justeru, tanpa ragu-ragu dan memang wajar, Mahfuz menyeru rakyat Melaka agar memberikan semula kepercayaan kepada PH untuk memerintah negeri kerana situasi kucar-kacir dalam kerajaan KM perlu diselesaikan secepat mungkin.
Lebih jauh lagi malah mengejutkan, Mahfuz menganggap sudah sampai masanya Parlimen wajar dibubarkan sekarang jika mahu.
Walaupun ada penganalisis politik tanah air berpendapat pertembungan rakan sekutu dalam kerajaan Persekutuan itu pada PRN Melaka akan menjadi medan buat BN dan PN menguji kemampuan masing-masing, tetapi huru-hara tetap huru-hara.
PRU15 semakin hampir
Menyedari keadaan itu, BN yang diketuai Umno berusaha membuktikan ia masih diterima oleh rakyat, dan Melaka menjadi medan utama untuk berbuat sedemikian.
PN yang ditunjangi Bersatu turut menggunakan pendekatan serupa, yang ingin membuktikan gabungannya bukan gabungan picisan, dan boleh mendapat kepercayaan rakyat sebagaimana BN.
Walau bagaimanapun, ramai pihak bimbang langkah BN dan PN itu juga boleh membawa risiko besar memandangkan landskap politik negara yang kurang stabil, selepas PRU14 kerana tiada parti yang dominan.
Pertembungan dalam PRN Melaka juga tidak hanya menguji hubungan BN-PN, malah hubungan Umno-Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) yang telah menyaksikan pelbagai kejayaan ditempa dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas PRU14.
Menurut pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang bersetuju PRN Melaka digunakan untuk menguji kekuatan parti, pertembungan itu akan menimbulkan persoalan mengenai corak kempen kedua pihak.
Mohd Izani mempersoal adakah kempen mereka akan lebih menjurus kepada mempromosikan kekuatan parti, ataupun menjatuhkan blok lain.
Beliau menjangkakan tindakan sedemikian akan memberi kesan pada peringkat Persekutuan, dan BN-PN mungkin akan bergabung selepas PRU15 untuk membentuk kerajaan jika gagal memperoleh majoriti.
Untuk kelangsungan parti, kata Mohd Izani, calon muka baharu dan muda dipertaruh pada PRN Melaka untuk menambat hati pengundi, selain mahu menonjolkan bahawa parti benar-benar berubah, serta responsif terhadap selera, dan kehendak rakyat.
Ada pemerhati politik yang melihat pertembungan berkenaan di kesemua 28 kerusi Dun sebagai strategi untuk meyakinkan akar umbi terhadap kemampuan kepimpinan parti dalam merencanakan masa depan, dan hala tuju parti.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Cawangan Melaka, Shafezah Abdul Wahab berpendapat pertembungan tiga penjuru, khususnya membabitkan Umno dan Bersatu dilihat sebagai persaingan untuk membuktikan parti Melayu mana yang lebih diyakini rakyat, khususnya di Melaka.
Senario pencalonan PRN Melaka yang membawa kepada pertembungan tiga penjuru ini, kata Shafezah, mungkin akan berlarutan dalam PRU15 apabila tidak wujud pakatan pilihan raya khususnya antara Umno, dengan Bersatu.
Baginya, keputusan PRN Melaka juga akan memberi gambaran sebenar hala tuju Bersatu dan Pas pada PRU15.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub, pertembungan itu juga akan membolehkan BN-PN mengkaji semula keperluan untuk duduk bersama pada masa akan datang.
Namun demikian, kata Mohamad Tawfik, PN dan MN berkongsi nilai yang sama, iaitu Melayu dan Islam, malah dilihat tidak boleh berada dalam PH kerana ideologi perjuangan berbeza.
Dalam konteks Melaka, beliau melihat BN-PN mengambil pendekatan pecah dahulu, bergabung kemudian. Begitu pun, ia masih porak-peranda, iaitu bersatu-bertembung-bersatu semula.
Tentu Umno, Pas dan Bersatu sedaya upaya (akan) membentuk kerajaan bersama-sama selepas PRU15 kerana kuasa politik itu penting untuk parti-parti politik di seluruh Malaysia.
Majlis Presiden PH telah lebih awal mencapai kata sepakat dalam memilih penggunaan logo PH yang akan digunakan dan dalam pembahagian 28 kerusi Dun ditandingi PKR, iaitu 11, AMANAH 9), dan DAP 8 dalam PRN Melaka, 20 November nanti.
Menariknya, ramai calon muda diketengah. Seramai 64 peratus merupakan calon berumur 50 tahun ke bawah. Lima daripada 28 calon yang akan bertanding nanti adalah dari kalangan anak muda berumur 21 hingga 30 tahun.
Calon termuda PH adalah seorang wanita berumur 21 tahun.
Keputusan PH menurunkan hampir 40 peratus calon berumur 40 tahun ke bawah menggambarkan kesungguhannya mengemuka perwakilan yang berkadar dengan bilangan pengundi yang akan keluar menentukan masa depan kerajaan negeri Melaka nanti.
Rayusa merupakan seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.