Memang pening memikirkan perkembangan politik tanah air sekarang terutama pasca Langkah Sheraton.
Episod demi episod yang melatari politik negara selepas itu begitu memualkan sehingga perasaan hormat kepada orang politik jatuh merudum seperti merudumnya pendapatan peniaga kecil pada era pandemik Covid-19.
Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sedang rancak berlangsung kini juga memaparkan drama dan lakonan politik yang tidak kurang memualkan.
Kempen singkat dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ini sepatutnya digunakan parti-parti bertanding untuk ‘memasarkan’ manifesto mereka kepada rakyat iaitu pengundi.
Namun, ianya lebih banyak disulami dengan serangan-serangan politik antara parti-parti kerajaan yang bertanding khususnya Umno (yang menerajui BN) dan Bersatu (yang mengetuai PN).
Agak menonjol dalam serang menyerang antara parti kerajaan ini ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Mahiaddin pada 12 November lalu sebagai contoh menyerang veteran Umno Johor, Tan Sri Shahrir Abdul Samad kerana mencabar Bersatu menarik sokongan terhadap menteri besar dari Umno, Datuk Hasni Mohammad.
Sambil menyifatkan Shahrir sebagai ‘bodoh’, Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa Shahrir berniat jahat kerana mahu episod yang berlaku di Melaka berulang di Johor.
“Macam Shahrir bodoh, suruh bersatu tarik (sokongan) dan menteri besar Umno akan jatuh. Bijak ke bodoh?” bidasnya dalam sidang media PN di Jasin.
Mahiaddin juga mendakwa boleh mengarahkan Adun-Adun Bersatu Johor berbuat demikian namun enggan bertindak begitu kerana tidak mahu “menyusahkan rakyat Johor”.
Sementara itu, dalam hantaran di media sosialnya pada hari yang sama, Najib menyelar Mahiaddin kerana masih “menjaja” dakwaan dipecat daripada Umno dan timbalan PM kerana mempersoalkan pembabitan beliau dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Mengarut,” kata Najib yang menyifatkan kenyataan itu sebagai cerita dongeng.
Najib sebaliknya menuduh Mahiaddin berkomplot dengan Tun Mahathir Mohamad sejak 2014 untuk menjatuhkannya.
Najib yang turut berkempen membantu BN di Melaka juga mendakwa Mahiaddin telah mengkhianati bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mahathir dan dia sendiri.
Menurutnya lagi, keputusan memecat Mahiaddin dari Umno dibuat sebulat suara oleh Majlis Tertinggi selepas dia berkempen bersama DAP, PKR dan Mahathir dalam acara “Selamatkan Malaysia” pada Mac 2016.
Nampaknya, insiden londeh melondeh sesama pemimpin politik kerajaan terus berlaku ketika rakyat tertunggu-tunggu apakah yang mahu dilakukan oleh parti-parti bertanding jika berjaya menbentuk kerajaan.
PH sudah pun membentangkan manifesto PRN 13 November lalu melalui Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang merangkumi tiga teras, enam strategi dan 32 inisiatif.
Ianya dibentangkan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka yang juga calon Ketua Menteri PH, Haji Adly Zahari.
Ketika BN dan PN terkial-kial menamakan calon Ketua Menteri dan gagal mempromosikan manifesto masing-masing, PH dengan yakin membentangkan pelan tindakan mereka jika diberi peluang sekali lagi menerajui negeri.
Itulah nasib yang menimpa PN dan BN. Mereka gagal bersatu kerana kedua-duanya punya persamaan — mengkhianati kawan dan menjadikan lawan sebagai kawan. Semuanya kerana kuasa, pangkat dan kedudukan; bukannya kesejahteraan rakyat.