Keanehan PRN Melaka

Oleh ARIF ATAN

Apabila diperhatikan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya nampak ada beberapa perkara atau kejadian yang janggal tidak pernah berlaku dalam siri pilihan raya sebelum ini.

Apakah ini termasuk sebahagian pilihan raya dalam norma baharu, pandemik? Antara kejanggalan atau keanehan itu ialah:

1. Perdana Menteri tidak bercakap sepatah pun untuk berkempen partinya atau parti yang mendukungnya sebagai kerajaan.

Orang tidak tahu Perdana Menteri itu menyokong parti mana dan di manakah pendiriannya.
Perdana Menteri seolah-olah tidak masuk campur langsung dalam pilihan raya berkenaan. PM dilihat lebih menguruskan dirinya daripada PRN di Melaka itu.

2. Penganalisa dan pengulas politik sekaligus jadi agen kempen yang jelas menjadi ahli atau jurucakap kepada sesebuah parti, bertindak pelik apabila mereka mengkritik parti sendiri, memaki hamun pemimpin atau calon parti yang mereka sokong selama ini.

Padahal, di pakaian mereka itu terlukis simbol parti. Ada yang pakai baju cap BN, tetapi hentam calon BN, ada yang pakai simbol Keadilan tetapi menceritakan keburukan calon PH daripada Keadilan tanpa segan silu dan sensor.

3. Pembohongan dan penipuan juga berlaku berleluasa tanpa rasa malu kepada diri sendiri. Misalnya, ada calon daripada PN berbohong dan menipu identiti diri sendiri kerana semata-mata hendak mengelabui pengundi. Rasa hilang dan hukum hakam dilanggari begitu rupa. Padahal, mereka mengaku sebagai parti agama.

Dengan berlakunya keanehan dan kepelikan ini menyebabkan sukar untuk diramalkan parti mana yang akan menang dalam pilihan raya itu.

Apakah dengan keadaan tidak menentu dan lain daripada biasa itu menjadikan pengundi keliru dan akan ada banyak undi rosak kelak?