Menteri Agama dari Pas yang tegas tidak bersetuju dengan keputusan kabinet dalam isu arak Timah dicabar untuk meletakan jawatan.
“Jika menteri agama daripada parti agama tidak bersetuju dengan keputusan kabinet dalam isu Timah, tunggu apa lagi, letak jawatanlah,” kata AJK AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin
Katanya, meletakkan jawatan adalah konsep kebertanggungjawaban bersama dalam bekerajaan atau berorganisasi kerana keputusan mesyuarat kabinet adalah keputusan semua anggotanya.
“Andai menteri agama naik lompat atas meja sekalipun ketika mesyuarat kabinet kerana tak bersetuju, apabila keputusan telah ada, lompatan itu tak diambil kira,” kata beliau.
Beliau berkata, menteri dikira tidak beretika apabila bercakap di media perkara yang bercanggah dengan keputusan kabinet.
“Takkan hal sebegini ada menteri yang tak faham. Menteri apa macam tu? Menteri cap ayam?
“Ini bukan isu aku setuju dengan keputusan kabinet, tapi ini isu etika. Jika menteri tak setuju dengan keputusan kabinet, letak jawatan.
“Usah melalut dalam media. Habis cerita. Ada bran?” soalnya.
Sebelum ini, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin turut meluahkan rasa kesal apabila kabinet kerajaan yang terdiri daripada majoriti orang Islam masih tidak dapat menghalang penganut Islam daripada terlibat dalam aktiviti berkaitan arak.
Menurut Asri, isu itu seolah-olah kurang dipedulikan sedangkan hal yang patut menjadi keutamaan tidak menjadi perhatian.
“Dukacita, kabinet yang majoriti muslim gagal membuat keputusan menghalang orang muslim terlibat dengan apa-apa aktiviti arak sama ada minum, angkat, juruwang dan seumpamanya.
“Membincangkan hal yang remeh, melupai hal yang besar,” ciapnya di Twitter.
Menteri Agama Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas menyatakan bantahan terhadap pengeluaran arak tempatan jenama Timah meskipun Kabinet membenarkan penggunaan nama itu di pasaran.
Pendirian parti itu adalah jelas dan konsisten berkaitan minuman keras walau apa jenama sekali pun.
Media semalam melaporkan, kerajaan membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corporation (M) Sdn. Bhd. terus menggunakan jenama Timah di pasaran.