Pensyarah Sains Politik UKM, Prof Dr Agus Mohd Yusof dalam tinjauan lapangannya di Melaka yakin pertembungan yang berlaku pada pilihan raya negeri itu adalah antara BN dan PH.
Menurut beliau, antara faktor utama penentu kemenangan dua parti itu adalah jumlah peratusan keluar mengundi dan kehadiran pengundi luar.
Beliau pastinya punya asas untuk mengetepikan Perikatan Nasional (PN) pada persaingan tiga penjuru (dan lebih) pada PRN Melaka kali ini.
Namun menyedari bahawa BN dan PN perlu merebut sokongan dari segmen pengundi yang sama, juga menyedari PN adalah gabungan politik baru dan rapuh dan belum diuji kekuatan pengaruhnya, telahan Dr Agus itu ada asasnya.
Apa yang menarik untuk diulas sepanjang kempen berlangsung adalah isu-isu yang diketengahkan parti-parti bertanding.
PH dengan yakin menampilkan manifesto ‘Maju Bersama Harapan’ dengan tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil dengan 32 inisiatif merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi, usahawan serta reformasi pentadbiran.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan Adly Zahari sebagai calon ketua menteri.
BN pula melancarkan manifesto dengan lima teras utama merangkumi kestabilan politik; lonjakan ekonomi baharu; meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan; memelihara keharmonian masyarakat; dan menjayakan pembangunan mampan.
BN turut menamakan Datuk Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri bagi mematikan desas-desus Datuk Rauf Yusoh, pengerusi perhubungan Umno Melaka yang dikatakan berminat mengisi jawatan itu.
PN pula melancarkan manifestonya lewat beberapa hari dan secara maya dari Shah Alam. Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin @ Mahiaddin Yasin membentangkan 6 tunjang utama Melaka Prihatin.
Ianya merangkumi keutuhan ekonomi; keprihatinan kepada rakyat; kerancakan sektor pelancongan; kelestarian alam sekitar; kecekapan infrastruktur; serta keteguhan dan kejujuran pentadbiran.
PN juga lewat mengumumkan calon Ketua Menteri dan hanya berbuat demikian dua hari sebelum hari pengundian dengan menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.
Tidak diketahui sama ada calon KM PN itu mendapat restu parti sekutunya Pas kerana presiden parti tersebut pernah menentang wanita dicalonkan sebagai menteri besar di Selangor.
Kempen pilihan raya yang sarat dengan SOP itu menyaksikan parti-parti bertanding memanfaatkan media sosial untuk berkempen.
Namun keghairahan berkempen mendorong sesetengah pihak memainkan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan.
Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek sebagai contoh dalam poster kempennya di media sosial mendakwa kononnya PH tidak sensitif dengan perasaan orang Melayu-Islam apabila bercadang mewujudkan jawatan timbalan ketua menteri bukan Melayu daripada DAP.
Cadangan ini juga, kata Kamarudin membazirkan wang negeri.
Kamarudin yang mendakwa kehilangan skrol ijazah pertamanya bagaimanapun dianggap berbohong kerana jawatan timbalan ketua menteri tidak pernah dijanjikan PH.
Sumber dakwaan Kamarudin itu juga menjadi satu misteri seperti misteri kehilangan skrol ijazah beliau.
Viral juga di media sosial klip video seorang wanita Pas yang berkempen untuk Perikatan Nasional. Memulakan bicaranya dengan memetik kenyataan bekas presiden Turki, Najmuddin Erbakan tentang kewajipan mengundi, wanita Pas itu kemudiannya membuat dakwaan tidak berasas.
Dengan penuh yakin beliau mendakwa kononnya pemerintahan 22 bulan PH telah mengukuhkan pengaruh komunis di negara ini. Wanita Pas itu mendakwa PH bertanggungjawab membawa abu mayat Chin Peng ke Malaysia sedangkan tuduhan itu telahpun dinafikan menteri dalam negeri ketika itu yang kini pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.
Malah tanpa teragak-agak, wanita Pas itu meneruskan dakwaan liarnya dengan mendakwa kononnya para pemimpin PH telah bertemu pemimpin komunis tanpa menyatakan siapa, bila dan di mana pertemuan itu berlaku.
Pesuruhjaya Pas Perak yang juga Exco Kerajaan Negeri, Razman Zakaria pula berkongsi hantaran Facebook ‘blogger pelarian’ asal Malaysia, Raja Petra.
Raja Petra mendakwa kononnya bekas menteri agama yang juga naib presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof kesal dengan Pas kerana tidak menghormati hak orang bukan Islam dalam isu arak dan judi.
Razman ketika berkongsi dakwaan palsu itu menulis “Bila cacing naik ke mata”. Dr Mujahid diberitakan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Razman.
Namun ramai berharap tindakan undang-undang itu tidak berakhir dengan permintaan maaf dari Razman.
Begitulah beberapa contoh bagaimana sentimen kaum dan agama masih dimainkan pihak-pihak tertentu bagi menanam kebencian guna meraih undi.
Setelah lebih 60 tahun merdeka, sentimen kaum dan agama sepatutnya tidak lagi dimainkan untuk meraih sokongan politik.
Apatah lagi ianya bertentangan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang ditonjolkan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Seperti kata Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; sudah tiba masanya ‘politik nilai’ menggantikan politik ekstrem yang memperalatkan kaum dan agama bagi meraih sokongan rakyat.
Parti-parti bertanding perlu mempromosikan program-program yang bakal dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat apabila diberi mandat mentadbir negeri.
Nilai teras murni seperti keadilan, amanah, membanteras rasuah dan ‘good governance’ sepatutnya dipromosikan berbanding kempen-kempen kebencian kaum dan agama, apatah lagi jika ianya berlandaskan fitnah dan pembohongan.
Maka esok para pengundi di Melaka perlu memilih. Keputusan di tangan anda. Pilihlah antara ‘politik nilai’ dengan ‘politik fitnah bersulam kebencian’.