Anwar Ibrahim kata Pakatan Harapan (PH) akan kaji semula semua persefahaman yang dicapai dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob ekoran pengakuan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang kerajaan menerima permohonan Najib Razak untuk mendapatkan seunit rumah dan sebidang tanah bernilai RM100 juta.
Sudah tidak memberi apa-apa makna lagi untuk meneliti dan bertindak ke atas perkara itu. Kenapa perlu menggunakan soal tanah dan rumah membabitkan Najib itu untuk kaji MoU? Sudah banyak perkara dilanggar atau berlaku yang kalau boleh disifatkan sebagai bertentangan dengan MoU.
Tetapi kenapa dalam kes Najib diberi perhatian sampai hendak kaji MoU? Contoh paling ketara sekali ialah untuk melakukan transformasi ke atas Parlimen, apakah berlaku transformasi itu dengan sikap Speaker yang mengendalikan dewan seperti gembala sapi liar? Kenapa tidak mahu dikaji MoU atas kegagalan itu?
Awal-awal kita sudah memberi tahu yang MoU itu tidak memberi apa-apa kesan pun khasnya bagi PH untuk mengawasi kerajaan dan memastikan Ismail Sabri berlaku adil dan saksama serta membuang perangai-perangai yang dipusakai daripada kerajaan UBN terdahulu?
PH terperdaya dengan MoU itu dan gagal mencungkil maknawi rahsia dan tujuan orang yang mengilhamkan MoU itu.
Ismail Sabri tidak terkesan dengan MoU itu dan beliau seolah-olah lebih menjaga diri dan nasibnya daripada memenuhi tujuh perkara yang dipersetujui dalam MoU itu. MoU itu tidak ubah seperti payung carik yang diguna untuk tumpang berteduh.
Kaji MoU itu dengan tujuan hendak mengugut Ismail Sabri sudah tidak ada guna. Dan kebaikan yang diperjuangkan PH dengan MoU itu juga tidak menunjukkan keberkesanannya. Walhasilnya MoU itu PH terkantoi.