Walaupun Najib Razak telah menarik balik permohonannya untuk mendapatkan sebuah hartanah kediaman bernilai RM100 juta daripada kerajaan, kabinet Ismail Sabri Yaakob disahkan telah pun meluluskan permohonan bekas Perdana Menteri itu.
Hal ini diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tunku Jaafar yang mengatakan kerajaan pada dasarnya telah bersetuju untuk menganugerahkan bekas Perdana Menteri itu sebidang tanah dan rumah bernilai RM100 juta di sebuah kawasan eksklusif di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Katanya, keputusan itu berdasarkan alasan bahawa ia adalah hak Najib memperolehinya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Berdasarkan hakikat ini, yang paling tak guna dan harus dipersalahkan oleh seluruh rakyat ialah Ismail Sabri sendiri.
Permintaan Najib sepatutnya tidak dilihat daripada sudut statusnya sebagai bekas Perdana Menteri semata-mata, tetapi mesti mengambil kira kedudukan semasanya ketika ini.
Najib sekarang ini sudah pun dijatuhi hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan penggubahan wang haram berkaitan dana SRC International. Beliau dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Hukuman itu bagaimanapun ditangguhkan buat sementara berikutan Najib dibenarkan merayu di Mahkamah Rayuan.
Pihak pendakwa dan pembela telah pun selesai mengemukakan hujah-hujah mereka, cuma belum diketahui lagi bila Mahkamah Rayuan akan memberikan keputusannya.
Dengan yang demikian, walaupun hukuman terhadap Najib sedang ditangguhkan, identitinya kekal sebagai seorang pesalah yang sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah.
Oleh itu, di mana logiknya dan di mana Ismail Sabri meletakkan neraca pertimbangannya sebagai ketua kerajaan dengan senang-senang meluluskan hartanah bernilai RM100 juta itu kepada Najib?
Jika Najib dilihat tak guna kerana membuat permohonan itu dalam keadaan dirinya sedang berselirat dengan pelbagai kes mahkamah, maka Ismail Sabri yang meluluskannya di ketika sedar dan tahu bekas Perdana Menteri itu sudah dihukum bersalah tentulah jauh lebih tidak berguna lagi.
Bagaimana jika selepas diberikan hartanah itu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman bersalah terhadap Najib?
Tidakkah gambarannya di mata umum adalah sementara mahkamah menghukum Najib bersalah, tetapi kerajaan pula memberikan hartanah mewah kepadanya sebagai hadiah?
Apakah jenis kerajaan dan Perdana Menteri yang sebegini buruk perangai dan tata kelolanya?
Apakah kerana mentang-mentang Najib bekas pemimpin Umno dan kerajaan tanpa mandat rakyat sekarang juga dipimpin oleh Ismail Sabri selaku Naib Presiden Umno, maka segala-galanya yang berkaitan Umno harus diberi keistimewaan?
Selain sudah dijatuhi hukuman bersalah, Najib juga masih berdepan puluhan kes lagi berkaitan 1MDB dan hubungannya dengan Jho Low yang mana jika rakyat meneliti fakta-fakta perbicaraan itu di mahkamah, pasti ramai yang geleng kepala dibuatnya.
Sekali lagi, di mana wajarnya untuk kabinet yang diterajui Ismail Sabri memberi kelulusan kepada permohonan Najib dalam keadaan hari-hari berita mengenai perbicaraan dibaca oleh rakyat jelata?
Dalam hal ini, keinginan PH untuk bertemu dengan Ismail Sabri khusus berkaitan isu kediaman mewah RM100 juta itu serta hubungannya dengan MOU yang telah ditandatangani adalah amat wajar sekali, walaupun Najib telah menarik balik permohonannya.
Ismail Sabri adalah pemimpin yang lemah, tiada rekod kejayaan, malah memastikan kejayaan Mara Digital yang kecil pun gagal dilakukannya dan hanya tinggal nama saja lagi sebagai peninggalan legasinya.
Untuk itu, ternampak sekarang seolah-olah beliau sedang mempergunakan MoU dengan PH untuk memastikan kuasanya kekal, kedudukannya tidak tergugat, selain menjadikannya bebas berbuat sesuatu dalam kerajaan.
Sudah sampai masanya PH menamatkan MOU dengan Ismail Sabri itu secara serta-merta agar beliau tidak lagi sebegitu bebas, kedudukannya sentiasa dipantau dan mudah dijatuhkan bila berlagak agak keterlaluan dalam mengurus kerajaan.