“22 tahun jadi PM saya tidak tuntut dan tidak dapat apa-apa selain pencen”

Oleh NASUHA RAHMAN

Tun Mahathir Mohamad menjelaskan pindaan Akta Saraan Ahli Parlimen 1980 yang dibuatnya pada 2003 bertujuan untuk kerajaan menimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka.

Katanya, ganjaran yang diberikan adalah rumah kerajaan yang sedia ada, ia tidak bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas perdana menteri.

Kata Mahathir, perdana menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih dari mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa.

“Itulah yang saya lakukan.

“Kita boleh hargai jasa seseorang perdana menteri tetapi tidaklah sampai menjadinya millionaire. Sumbangan mereka sebenarnya juga perlu diambil kira,”kata beliau.

Bagaimanapun soal beliau, bagi seorang perdana menteri yang merosakan negara sehingga dihukum penjara, perlukah diberi hadiah sampai RM100 juta?

Sedangkan, katanya Tunku Abdul Rahman yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja.

“Tunku Abd Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berjaya memerdekakan negara hanya dapat sebuah rumah papan. Rumah Tun Razak dijadi monument. Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah dapat rumah Kerajaan yang sedia ada.

“Saya jadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak tuntut dan tidak dapat apa-apa selain dari pencen dan RM10,000 sebulan untuk selenggara rumah yang didiri oleh saya sendiri,” katanya.

Mahathir mengakui turut ditawarkan sebidang tanah di Putrajaya secara percuma apabila beliau bersara tetapi telah ditolak dan sebaliknya beliau membeli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara.

“Setiap tahun saya bayar cukai tanah sebanyak RM6,071 dan cukai taksiran sebanyak RM1,792.

“Najib yang menghancurkan negara sehingga menjadi kleptokrasi pula akan diberi RM100,000,000 tanpa dilulus oleh Parlimen – bahkan dirahsia,” ujarnya lagi.

Menurut Mahathir, Najib membuat permohonan sedangkan bekas perdana menteri lain tidak membuat permohonan untuk tanah tertentu, sama ada kerajaan susulan hendak balas budi atau tidak adalah hak Kerajaan.

“Dunia ketawa melihat Malaysia di mana seorang banduan yang lesap berbillion ringgit begitu disanjung tinggi dan dihormati.

“Negara ini yang dahulu dikenali sebagai Asian Tiger sekarang menjadi kleptokrasi iaitu negara pencuri yang diperintah oleh pencuri, hasil pemerintahan Datuk Seri Najib.

“Ekonomi negara hancur. Dan sekarang ini keadaan politik tidak stabil sehingga dalam masa tiga tahun berlaku pertukaran Perdana Menteri tiga kali.

“Dunia pandang hina kepada Malaysia sekarang,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul mendedahkan kabinet menerima permohonan Najib untuk mendapatkan rumah dan tanah di ibu kota bernilai RM100 juta sebagai mengenang jasanya sebagai perdana menteri.