Isu kenaikan harga barang yang gagal dimanfaatkan ketika PRN Melaka

Oleh KIM SYAZIE

Dua tiga hari ini rancak dalam laporan akhbar, media sosial menyentuh tentang kenaikan harga barang. Kenaikan yang berlaku ini bukannya baru. Malah berlarutan sejak tahun lepas. Tapi BN dan Umno berjaya senyapkan isu utama rakyat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beberapa hari sebelum PRN Melaka aku ada sentuh beberapa strategi yang gagal dilaksanakan antaranya menjadikan isu yang dekat dengan rakyat iaitu tentang kenaikan harga barang dalam PRN Melaka.

Tujuannya bukan untuk mencari kemenangan tetapi untuk mewujudkan kesedaran rakyat. Biarpun mungkin PH kalah, apa yang disebut dalam kempen dan ceramah PH akan dikenang dan buatkan mereka berfikir bila mereka berhadapan dengan beban kos hidup.

Kita harus ajar rakyat berfikir dengan apa yang dekat dengan mereka

Soal akaun luar pesisir, Pandora Papers,  laporan audit itu tak tercapai akal dalam kalangan bani Melayu untuk berikir jauh. Apa yang depa tahu, soal negara ini mesti dipimpin dari kalangan bani Melayu Islam.

Ada sahabat kata, isu itu dimainkan di sana. Mungkin juga aku terlepas pandang. Tetapi aku tak nampak ianya disentuh sebagai strategi utama dalam ceramah dan kempen pemimpin utama PH di media sosial. PH perlukan perubahan pendekatan dalam menyampaikan maklumat, ia perlu lebih tersusun.

Apapun, ia masih belum terlambat. Banyak isu boleh disentuh antaranya soal pekerjaan, perniagaan, isu perumahan. Dah tentulah menyentuh kenaikan kos sara hidup yang bukan saja menjejaskan pendapatan isi rumah dari kalangan kelompok bawahan dan menengah, hatta kelompok peniaga kecil dan sederhana.

Itu sebabnya BN dan Umno tahu kita akan hadapi hyper inflasi. Betul ia bukan hanya dihadapi di Malaysia, ianya mungkin jadi pandemik ekonomi di seluruh dunia.

Sama seperti pandemik, kelemahan, kegagalan kerajaan membuatkan krisis ini makin teruk dan akan lebih teruk. Sampai masanya periuk nasi rakyat dan peniaga akan terjejas teruk.