Pemuda Pas Kelantan hari ini bersuara berhubung keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memberi wang ehsan bukannya royalti kepada mana-mana negeri semenanjung termasuk Kelantan.
Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, jawapan sidang parlimen oleh Menteri Kewangan berkait keputusan itu memerlukan penjelasan lanjut dan penelitian sewajarnya.
“Wang Ehsan adalah terma baharu yang tidak terikat dengan tanggungjawab berkontrak antara petronas dan negeri-negeri.
“Terma kontrak yang masih tidak dibatalkan adalah royalti tunai 5% sebagaimana perjanjian Akta Petrolium 1974,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, katanya bagi mewakili anak muda Kelantan, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan memohon jasa baik kerajaan untuk menimbang semula keputusan yang dibuat dan mengembalikan terma royalti tunai 5% untuk manfaat yang lebih besar kepada rakyat dan negeri Kelantan.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.
Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.
Memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.