Ada beberapa penjelasan diberikan berikutan kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran tempatan ketika ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan ada kaitan dengan peningkatan harga baja dan racun di pasaran dunia.
Di samping itu faktor cuaca termasuk hujan tidak menentu serta kerosakan tanaman petani di Cameron Highlands, menyebabkan bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan hingga menyumbang kepada kenaikan harga.
Apabila berlaku situasi sedemikian saya terfikirkan tentang suatu konsep yang dipopularkan oleh E. F. Schumacher, seorang ahli ekonomi kritikal beberapa dekad lalu dalam bukunya ‘Small is Beautiful’ atau Kecil itu Indah. Konsep itu masih lagi relevan sehingga ke hari ini.
Bagi Schumacher bukan semua projek besar atau gergasi itu indah atau menarik jika mengikut skalanya projek yang kecil-keci itu juga indah dan lebih praktikal. Ia tidak menelan belanja yang besar.
Menurut beliau kecenderungan untuk menghasilkan pengeluaran secara besar-besaran telah mengakibatkan sistem tersebut semakin tertutup dan menjauhkan diri dairipada faktor sekeliling sebenarnya. Dalam proses penghasilan secara besar-besaran apabila satu rantaian mengalami masalah maka yang lain akan turut terjejas.
Jika diteliti kepada kenaikan harga sayur dengan penjelasan yang diberikan, kita dapat melihat faktor saling berhubungan telah menjejaskan faktor lain.
Ini menyebabkan pengguna berada dalam keadaan tidak berdaya berbuat apa-apa dan kerajaan pun sekadar memberikan penjelasan dan tiada langkah konkrit diambil serta mengharapkan faktor-faktor di atas dapat diatasi.
Dapatkah harga sayur yang naik itu mengalami penurunan harga dan berapa peratuskah ia akan turun?
Sistem ekonom kapitalis dan ahli politik juga tidak dapat menyelamatkan krisis kenaikan harga barangan yang melanda negara saat ini. Konsep ‘Kecil itu Indah’ ingin mengemukakan konsep ekonomi yang menjaga kebajikan rakyat dan mengutamakan konsep kecil-kecilan.
Misalnya kita tidak perlu bergantung kepada sayur-sayuran daripada Cameron Highlands kerana kenaikan harga sayur yang berlaku menyebabkan pengguna tiada pilihan lain selain terpaksa membeli juga sayuran atau menahan diri untuk tidak membelinya.
Pengalaman pandemik Covid-19 telah mengajar kita terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar untuk mula mengorak langkah ke arah pertanian bandar atau pertanian komuniti bandar.
Konsep `kecil itu indah’ mahukan para pengguna berdikari tidak perlu mengharapkan bekalan sayur-sayuran dari Cameron Highland lagi.
Setiap daerah misalnya mempunyai kebun pertanian mereka sendiri di samping menjalankan konsep pemasaran ikut kepentingan kawasan. Setiap daerah itu boleh saling jual menjual sayuran yang tidak terdapat di daerah mereka masing-masing.
Dengan kaedah ini tiada sandaran misalnya kepada sayuran yang dimonopili oleh korporat besar sayuran. Di samping itu mereka boleh menyelaraskan dalam harga pasaran mereka sendiri dan menghasilkan baja kompos dan racun juga.
Mungkin mudah ditulis daripada dipraktikkan tetapi jika ada kemahuan tentu ada jalannya. Hendak seribu tidak hendak seribu dalih.
Konsep pertanian komuniti akan banyak membantu setiap daerah dan kawasan bandar. dapat membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan. Ia harus digerakkan secara terpadu.
Malah Jabatan Pertanian.telah menjalankan program ini melibatkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai Jabatan dan Agensi yang berkaitan di peringkat Negeri dan Persekutuan.
Jika dilakukan sebagai satu dasar pertanian negara dengan serius di samping sokongan Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Persatuan Pertanian kawasan dan persatuan penduduk, pembangunan pertanian komuniti dapat menjadi satu strategi dalam membentuk komuniti sendiri dan bekerja secara berpasukan untuk menghasilkan produk makanan sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual di daerah lain.
Penduduk dan komuniti tidak bergantung kepada Cameron Highlands dan ia mengajar syarikat-syarikat korporat supaya tidak terlalu tamak, gelojoh dan bersifat monopolistik.
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Vsual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)