Beberapa hari lalu, Ketua Perangkawan Malaysia telah mengumumkan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi Oktober meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun, menunjukkan harga barang semakin meningkat.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkara, daripada laporan media termasuk media sosial, rakyat sangat terkesan dengan peningkatan harga barang berlaku secara mendadak, sama ada harga sayur, roti, ayam, alat gantian kereta, bahan binaan, ais dan pelbagai barangan lain.
Malah katanya, pengumuman terbaru bahawa kos menunaikan haji juga bakal meningkat amat mengecewakan.
“Namun sehingga kini kita cuma mendengar alasan demi alasan dan melihat tindak balas lembab Menteri dan Kerajaan.
“Pada ketika ramai yang masih tertekan akibat kehilangan pekerjaan dan pendapatan, malah ramai yang memilih mengeluarkan wang simpanan hari tua dari KWSP atau meminjam dari pihak yang tidak sepatutnya demi kelangsungan hidup, Menteri KPDNHEP wajib bertanggungjawab.
“Saya kesal dengan siri kenyataan Menteri bahawa “harga barang masih normal” dan beliau kononnya telah mencapai 100 peratus sasaran KPI bagi KPDNHEP,”katanya.
Tegas Fahmi, menteri terbabit tidak berpijak di bumi yang nyata dan tidak prihatin akan nasib serta rasa sengsara ahli-ahli “Keluarga Malaysia”.
Katanya, 100 hari telah berlalu sejak beliau dilantik, dan oleh kerana beliau cuma berlengah tanpa mengambil tindakan tegas dan pantas, Perdana Menteri mesti mengotakan janji dan menukar Menteri KPDNHEP yang gagal ini.
“Pada masa yang sama, Perdana Menteri sendiri perlu nyatakan apakah langkah-langkah yang akan diambil Kerajaan untuk segera menjamin harga barang dapat dikawal,” kata beliau.