AMK akan serah memorandum kepada Menteri KPDNHEP Jumaat ini

Oleh NASUHA RAHMAN

Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (MPAMK) Malaysia akan menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada hari Jumaat, 3 Disember, jam 11 pagi di Putrajaya.

Penyerahan memorandum ini bagi menggesa pihak Kementerian serta kerajaan untuk menangani isu kenaikan harga barang keperluan asas dengan segera.

Dalam kenyataan Setiausaha AMK Syukri Razab berkata, dalam soal kenaikan harga barang makanan yang mendadak, AMKN telah menzahirkan kegusaran dan kebimbangan terhadap usaha kerajaan dalam menangani isu ini yang ternyata telah menjejaskan kedudukan ekonomi dan kehidupan masyarakat Malaysia.

“Dalam keadaan rakyat masih berdepan dengan cabaran ekonomi ekoran pandemik Covid-19, perbelanjaan besar dana rakyat melalui belanjawan dan juga saiz kabinet sewajarnya diterjemahkan kepada kemudahan dan kesenangan yang dapat dinikmati oleh rakyat,” kata beliau.

Sehubungan itu, katanya bagi menggesa agar kerajaan memberikan perhatian yang serius kepada masalah ini AMK akan melancarkan kempen #TurunkanHargaBarang terutamanya yang melibatkan barangan keperluan asas isi rumah di Malaysia.

“Kempen #TurunkanHargaBarang adalah satu inisiatif yang akan digerakkan secara bersama dengan badan-badan berkepentingan bertujuan untuk menjadi saluran kepada masyarakat umum bagi menyalurkan kebimbangan dan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan dan gerak kerja kerajaan dalam mengekang kenaikan harga yang melampau,” kata beliau.

Semalam Biro Mobilisasi AMANAH Nasional telah mengadakan ‘flash mob’ seluruh negara bagi menggesa kerajaan menangani masalah kenaikan harga barang yang melampau sehingga membebankan rakyat.