Kajian rintis spesies ganja sebagai sumber fiber akan dilaksana

Oleh ARIF ATAN

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata KetSA akan melaksanakan kajian rintis hem, iaitu tumbuhan dari spesies ganja sebagai sumber fiber.

Menurutnya, tumbuhan tersebut mempunyai kadar kandungan psikoaktif di bawah 0.5 miligram (mg).

“Biarpun ia bukan untuk perubatan kerana perubatan ini di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tapi untuk fiber ini, di bawah KeTSA.

“Kita tahu hem ialah kanabis yang mempunyai kadar kandungan bahan psikoaktif di bawah 0.5 mg. Sekiranya ia melebihi kadar ini, ia akan memberi kesan khayal dan sebagainya,” jelasnya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Pas Kota Bharu itu berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (RUU) 2022 peringkat jawatankuasa (pembangunan) bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, kajian industri marijuana bagi tujuan perubatan juga sebenarnya sudah diputuskan oleh kerajaan sejak 2018 tetapi belum dapat dilaksana disebabkan beberapa kekangan.

“Kalau tidak silap, sejak 2018 lagi sudah diadakan satu projek perintis di Bukit Tangga, Kedah. Tetapi projek ini tergendala sehingga sekarang kerana ada konflik di mahkamah membabitkan isu tanah.

“Kerajaan sudah membelanjakan hampir RM20 juta untuk membuat infra asas kepada tanah di Bukit Tangga ini.

“Tapi sekarang ini, kita akan cuba cari tempat yang lain pula,” tambah Takiyuddin lagi.