KL City muncul juara Piala Malaysia ke-100, benam JDT 2-0

Oleh NASUHA RAHMAN

Pasukan kendalian Bojan Hodak muncul juara Piala Malaysia 2021 selepas membenamkan JDT (2-0) dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Ini adalah kemenangan buat pertama kali selepas 32 tahun apatah lagi berjaya mematahkan ‘taring’ harimau selatan JDT yang popular di persada bola sepak negara.

Khalid antara orang yang paling gembira dengan kejayaan KL City membenamkan JDT yang menjadi juara sejak sekian lama.

Kemenangan KL City juga berjaya menyahut seruan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad yang menjanjikan bonus apabila menewaskan JDT.

Terdahulu, Khalid Samad berkata pemain KL City bakal menikmati bonus kemenangan jika mampu mengalahkan JDT.

Bonus itu, katanya satu insentif sebagai  suntikan semangat buat skuad warga kota di pentas akhir malam ini.

“Kita memang menjanjikan bonus kepada semua pemain jika mencapai kemenangan sebagai juara Piala Malaysia ke-100 itu, satu pencapaian yang mengatasi segala harapan kita sebelum ini.

“Hadiah ini kita akan bagi kepada pemain sebagai bonus dan saya yakin penaja juga akan memberi imbuhan kepada pemain,” kata beliau dalam sidang media petang tadi.