Dilema dunia pendidikan: Antara hasrat pendidik dan realiti tingkah laku komuniti

Oleh KIM SYAZIE

Dunia pendidikan, dunia yang paling mencabar, khususnya dalam kalangan pendidikan peringkat sekolah (Menengah dan rendah) kerana melibatkan pola interaksi yang amat ketara antara guru, pelajar dan komuniti.
Wujudnya apa yang dikaitkan sebagai hubungan tiga penjuru yang kronik.

Keadaan ini menjadi lebih kompleks apabila diambil kira pula hubungan antara guru, sekolah dan ‘stakeholder’. Sekolah hakikatnya menjadi pusat perhatian komuniti, memandangkan sekolah menjadi gelanggang yang membentuk manusia untuk menjadi manusia bagi memenuhi kehendak pembangunan negara.

Segala apa yang berlaku di sekolah, sering kali menimbulkan reaksi dan tindak balas daripada komuniti, ibu bapa khususnya.

Tersilap bicara guru, terkhilaf sedikit tindakan dalam melaksan hukuman kepada pelajar, sudah menjadi isu yang menggemparkan.

Itulah dunia pendidikan yang beragam dan amat kompleks. Pendidikan umumnya menjadi pusat pembentukan budaya dan peradaban, sejajar dengan matlamat pendidikan itu sendiri.

Bagaimana pun budaya yang yang dipandu dan dibentuk di sekolah sering kali dicabar oleh nilai dan budaya yang dipupuk di luar sekolah yang kadang-kadang amat bertentangan sekali dengan apa yang ditanam di sekolah.

Sekolah menekankan soal pembinaan watak dan peribadi yang mempunyai kekuatan jati diri, memupuk kepekaan terhadap moral dan kebertanggungjawaban sosial, lebih daripada itu sekolah memupuk tradisi kepimpinan dan potensi bakat pelajar.

Di sekolah, pelajar didisiplinkan dengan pelbagai peraturan. Pelajar diajar bertertib dan menghormati institusi-institusi sosial. Sebaliknya apabila pelajar berada di luar sekolah, maka pelajar akan terserempak dengan pelbagai perkara yang bertentangan sekali berdasarkan apa yang diterapkan dan dibudayakan di sekolah.

Nilai sekolah semakin terabai apabila pelajar berasosiasi dalam komuniti, ini bermakna nilai dan budaya sekolah telah berlaku pecairan dan tersisih dalam tingkah laku komuniti.

Pelanggaran integriti dan wujudnya tingkah laku anti disiplin yang berlaku dalam kalangan masyarakat seolah-olah telah menjadi bebanan kepada sekolah, berlaku konflik di antara realiti amalan komuniti dengan kandungan pengajaran dan proses pendidikan yang berlaku di sekolah.

Paling mudah, sekolah mendidik pelajar untuk tidak merokok, memerihalkan akan bahaya merokok, namun komuniti tidak memperakui apa yang diajar disekolah, bahkan komuniti mempengaruhi sikap pelajar terhadap rokok.

Komuniti secara tidak langsung telah menjadi model untuk pelajar terlibat dengan kegiatan merokok, memandangkan komuniti gagal mengabsahkan kelakuan merokok sebagai satu kelakuan di luar batasan normal.

Berdasarkan hakikat ini, maka komuniti seharusnya bertanggungjawab penuh di atas kegagalan pelaksanaan undang-undang larangan merokok dalam premis-premis awam, khususnya premis makanan, sebagaimana yang dikuat kuasakan oleh kerajaan 1 Januari 2019.

Berlakunya penyalahgunaan kuasa, rasuah, pecah amanah, khianat harta awam, vandalisme dan pelanggaran terhadap peraturan dan undang-undang, semuanya menjadi berlawanan dengan apa yang disampaikan kepada pelajar untuk menjadi warga negara yang baik.

Situasi di luar sekolah tidak menggambarkan apa yang dikehendaki dalam konteks warga negara yang baik, sebagaimana yang dianjurkan oleh sekolah.

Sekolah menjadi tapak membina pemikiran dan tingkah laku ideal, namun komuniti mencerminkan realiti sikap dan tingkah laku sebenar manusia yang berlawanan dengan pemikiran ideal sekolah, ternyata berlakunya pertembungan di antara hasrat sekolah dengan tingkah laku komuniti.

Apabila berlakunya kegiatan anti sosial, gejala sosial, sentimen perkauman, dan penafian ketertiban dan adab, maka komuniti akan kembali mempersoalkan tentang kandungan sekolah, tentang pengajaran dan proses pendidikan yang dilaksanakan di sekolah.

Komuniti akhirnya menyimpulkan bahawa sekolah gagal untuk membentuk warga negara yang baik.

Sedangkan tingkah laku komuniti menjadi penyumbang kepada kegagalan untuk mewujudkan warga negara yang baik.

Anehnya, komuniti itu sendiri adalah merupakan mereka yang dididik dan melalui proses pembelajaran di sekolah, namun kehidupan dalam komuniti tidak menjadikan mereka praktis dengan apa yang dipelajari di sekolah.

Negara, tanpa manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan akan kehilangan budaya, terjebak dalam krisis nilai dan tentunya berkonflik dengan jati diri dan nilai bangsa. Integriti, hakikatnya harus dibentuk dan dipupuk pada peringkat sekolah.

Oleh yang demikian peranan sekolah, bukan semata-mata membentuk pelajar yang mempunyai daya saing akademik, sebaliknya juga membentuk pelajar yang mempunyai kesedaran moral serta keprihatinan jiwa sosial, membangunkan pemikiran adil dalam membuat sesuatu keputusan, khususnya yang melibatkan kepentingan kestabilan sosial.

Sekolah secara umumnya menjadi pembentuk generasi yang akan mewarnai masyarakat, generasi yang menjadi pembina dan pendorong kepada pembangunan komuniti.

Ini bermakna sekolah seharusnya menjadi pusat pembinaan tamadun tinggi, melahirkan manusa-manusia yang mempunyai ketebalan kesedaran moral.

Tanpa kompromi, seharusnya juga mempunyai keupayaan menjadi benteng peneguh komuniti daripada landaan unsur-unsur yang menjadi penghakis kepada kelestarian tamadun.

Hakikatnya inilah yang tergambar dalam alam pemikiran Socrates, Plato mahu pun Aristotle. Dan inilah juga yang di anjurkan oleh A-Ghazali atau pun yang ditebak oleh Ibn Khaldun, juga yang dilontarkan oleh Muhamamd Iqbal.

Keadaan ini secara tidak langsung telah menimbukan konflik dalam konteks proses pendidikan, antara memberikan tumpuan terhadap usaha mengangkat nilai moral dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berpaksikan fokus kandungan, antara tumpuan pembangunan sifat kemanusiaan dengan tumpuan untuk menghafal bagi peningkatan pencapaian akademik.

Realitinya fokus utama komuniti adalah mengkhusus kepada penguasaan kandungan dan ini agak ketara dengan tumpuan tinggi diberikan oleh komuniti terhadap pencapaian dalam peperiksaan yang dianggap sebagai ukuran kecemerlangan.

Meskipun bukan sesuatu yang salah secara mutlak, namun jika tumpuan terhadap kandungan terlalu diutamakan penekanannya, maka bakat, potensi, kebolehan dan masa depan pelajar akan berdepan dengan kecacatan moral.

Realitinya kejayaan tidak sepenuhnya ditentuka kebergantungannya kepada pencapaian dalam peperiksaan semata-mata.

Tumpuan total terhadap kandungan serta mengukur kejayaan dan kcemerlangan itu kepada pencapaian akademik, secara tidak langsung telah membenarkan pengkelasan dan pendiskriminasian terhadap pelajar, keadaan ini tentunya bertentangan sekali dengan konteks pendemokrasian pendidikan.

Pertembungan di antara pelaksanaan pendidikan oleh guru dengan tuntutan kehendak dan harapan komuniti, memberikan impak terhadap matlamat, objektif dan falsafah pendidikan.

Padahal sebenarnya, komuniti itu sendiri agak kabur tentang intipati kehendak dan harapan mereka berkait dengan realiti pendidikan, apa yang pihak komuniti lihat adalah kecemerlangan pencapaian akademik.

Atas hakikat ini komuniti seringkali mengenakan tekanan pengaruhnya terhadap sekolah, tanpa maklum bahawa sekolah sebenarnya lebih arif tentang apa yang harus diberikan kepada pelajar.

Keputusan-keputusan yang diambil oleh guru sering kali menimbulkan tindak balas daripada komuniti yang tidak cenderung untuk memberikan sokongan, sebaliknya lebih terdorong untuk memperlebar bantahan serta pertentangan sehingga wujudnya unsur kecenderungan komuniti untuk menguasai sekolah atau “mengajar guru untuk menjadi guru.

Komuniti seolah-olah lebih maklum dalam pelaksanan proses pendidikan, pengajaran dan pembelajaran. Inilah dilema dunia pendidikan.


Penulis merupakan Penyelidik Perunding Human Resource Academy