Naib Presiden Pas Datuk Nik Amar Abdullah membayangkan mungkin suatu masa nanti Pas akan mengadakan kerjasama dengan AMANAH atas nama perpaduan ummah.
Katanya, isu yang paling besar yang menghalang Pas dari menjalinkan kerjasama dengan AMANAH kerana parti itu terus bersekongkol dengan DAP.
Beliau berkata, sebelum ini Pas menolak Bersatu kerana bersama DAP tetapi selepas berpisah Pas boleh berbincang seterusnya menjalin kerjasama.
“(Tapi) Masa depan kita tak tahu, tapi masa ini realitinya, politik ini dinamik dan kita pula lihat keperluan semasa dan kepentingan agama dan negara.
“Mungkin suatu masa nanti (kerjasama dengan Amanah), hari ini isu yang paling besar Amanah itu masih bersengkongkol dengan DAP,” katanya ketika ditemui di Program Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 dan Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria PBT Negeri Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai menyahut cabaran Exco Pemuda Umno, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang membangkitkan penyatuan antara Pas dan Amanah.
Umno sebelum ini memberi kata dua kepada Pas selepas parti itu dilihat mementingkan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) berbanding MN.
Walaupun Pas menegaskan bahawa MN perlu dikekalkan, Umno sebaliknya menyifatkan Pas melanggari piagam yang dimeterai bersama.
Amanah adalah parti serpihan Pas setelah bekas timbalan presidennya Mohammad Sabu bersama-sama sejumlah lagi tokoh lain keluar parti dan menubuhkan Amanah.
Parti itu kemudian menyertai gabungan pembangkang PKR, DAP dan Bersatu yang akhirnya pertama kali menumbangkan BN dalam PRU 2018.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata Pas tidak boleh menjalinkan hubungan dengan Umno sahaja, justeru “meneroka ruang lebih besar” menerusi Perikatan Nasional (PN).
“Dan mengambil kita kedudukan politik negara, yang mana kita hormat sifat majmuk di Malaysia, kita tak ikat dengan Muafakat Nasional (MN) saja yang lebih bersifat eksklusif. PAS dan Umno adalah Melayu dan Islam sahaja.
“Sedangkan orang bukan Islam dan bukan Melayu juga perlu kita dekati untuk membina Malaysia yang lebih baik. Sebab itu Pas menjadi jambatan antara MN dan PN,” katanya lagi.