Umno hanya anggap mahkamah adil jika Najib dibebaskan?

Oleh ARIF ATAN

Walaupun mesyuarat MT Umno diadakan pada malam 8 Disember, tetapi kenyataan media berkenaan mesyuarat tersebut hanya dikeluarkan lewat petang semalam iaitu 9 Disember.

Barangkali ini adalah pertama kali dalam sejarah Umno, kenyataan media dikeluarkan sehari selepas mesyuaratnya diadakan.

Mesyuarat yang diadakan selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan menolak rayuan dan mengekalkan sabitan bersalah dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak antara lain membuat keputusan:

⁃ menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Najib dan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya.

⁃ mengharapkan bekas Perdana Menteri itu akan diberi keadilan yang saksama dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan nanti dengan alasan ramai beranggapan beberapa tokoh yang dituduh di mahkamah selepas PRU14 adalah bermotifkan pendakwaan politik.

Agaknya kerana tersentak serta terkelu dengan keputusan serta hujahan hakim Mahkamah Rayuan yang pedas dan berbisa dalam mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib itulah yang menyebabkan kenyataan media itu lewat sehari dikeluarkan.

Biasanya sebelum ini, selepas jam 12 malam setelah berakhirnya mesyuarat MT pun masih boleh lagi disusun ayat mengeluarkan kenyataan media.

Apa pun, pendirian MT Umno berhubung kes mahkamah Najib di mana Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sendiri ada di dalam mesyuarat tersebut lebih memperlihatkan sikap parti itu yang tidak matang dan tidak terbuka dalam menerima sesuatu keputusan mahkamah.

Sekadar menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap Najib barangkali tidak ada salahnya, tetapi dengan berharap bekas Perdana Menteri itu diberi keadilan yang saksama di peringkat rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan nanti tentu saja menimbulkan banyak persoalan lain.

Apakah pendirian Umno itu bermaksud mereka menuduh keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib sebagai tidak adil?

Apakah ia hanya dianggap adil jika Najib dibebaskan?

Bagaimana dengan segala bukti, fakta serta keterangan yang dibentangkan di mahkamah yang didapati telah melampaui keraguan yang munasabah untuk mensabitkan kesalahan terhadap Najib?

Contoh paling mudah ialah berkenaan kemasukan wang RM42 juta ke dalam akuan peribadinya yang kemudian beliau membelanjakan wang tersebut, antaranya untuk membeli-belah, apakah masih adil namanya jika pelaku yang berbuat demikian akhirnya dibebaskan?

Selain itu, dengan Umno berharap Najib diberi keadilan yang saksama di Mahkamah Persekutuan nanti, ini dengan sendirinya bermakna suatu tekanan secara tidak langsung daripada Umno sebagai parti yang sedang menguasai kerajaan kepada lima hakim yang bakal mendengar rayuan nanti.

Apa lagi yang turut bersetuju dengan pengharalan MT Umno agar Najib diberi keadilan yang saksama itu ialah Perdana Menteri sendiri kerana beliau hadir dalam mesyuarat tersebut.

Sekali lagi, apakah jika keputusan di Mahkamah Persekutuan nanti tidak memihak kepada Najib, maka Umno akan terus berpendirian tiada keadilan yang saksama diberi oleh mahkamah tertinggi itu?

Dalam waktu yang sama, Umno dalam kenyataan medianya juga ternampak setuju dengan tanggapan ramai (kononnyalah) bahawa pendakwaan terhadap beberapa pemimpin parti itu selepas PRU-14 lalu adalah semata-mata bermotifkan politik.

Sudah tentu, mereka yang dimaksudkan didakwa di mahkamah atas pendakwaan bermotif politik itu, selain Najib, adalah Zahid Hamidi sendiri.

Harus diingatkan kepada Umno, kalau seseorang itu tidak melakukan sebarang kesalahan, apa pun pertembungan politik yang berlaku, ia mustahil boleh sampai hingga boleh didakwa di mahkamah.

Tambahan lagi, sekarang ini yang sedang berkuasa dan menerajui kerajaan adalah Umno serta yang menjadi Perdana Menteri juga adalah pemimpin Umno, bukan lagi PH atau PN sebagaimana sebelum ini.

Kalau benar semuanya pendakwaan politik, kenapa tidak dipaksa Ismail Sabri menggugurkan semua kes yang terkait dengan pemimpin-pemimpin Umno itu?

Mengapa masih nak menyalahkan motif politik dan pemimpin lama yang sudah tiada kuasa?