Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjangkakan harga barang yang meningkat ketika ini akan kembali stabil pada awal tahun depan.
Beliau berkata, isu kenaikan harga barangan yang dihadapi rakyat akan beransur pulih apabila lebih banyak negara mula membuka sektor ekonomi masing-masing dan pengeluaran produk makanan akan kembali normal.
“Kita ternak ayam tetapi makanan ayam datang dari luar, begitu juga dengan baja dan racun yang diimport dari luar. Bila barang sedikit, permintaan banyak, tentu sahaja akan menyebabkan harga naik.
“kita jangka Insya-Allah pada awal tahun depan harga kembali stabil,” katanya dalam Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas hari ini.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menjangkakan harga barangan termasuk sayur dan ayam kembali stabil antara Januari dan Februari tahun depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia berikutan harga barangan khususnya sayur dan ayam kini mula menunjukkan penurunan.