Jika Ismail lengahkan PRU15, mungkinkah Umno sendiri paksa Parlimen dibubar?

Oleh KIM SYAZIE

Berikutan kenyataan Ismail Sabri yang memperlekeh kemenangan BN dalam PRN Melaka dengan menyebut undi popular Umno hanya meningkat sebanyak 1 peratus saja, lalu mengatakan “sabar dulu” untuk diadakan PRU15, Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki kemudian menjelaskan, mesyuarat MT baru-baru ini telah bersetuju pembubaran Parlimen dilakukan selepas Julai 2022.

Begitu pun, tambahnya, ketetapan itu memutuskan bahawa PRU15 mesti dilangsungkan sebelum pemilihan Umno diadakan.

Dalam erti kata lain, MT Umno secara dasarnya mahu agar PRU15 diadakan di ketika Ahmad Zahid Hamidi masih menjadi Presiden Umno. Semalam pula, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, pemilihan Umno mungkin akan diadakan pada November 2022.

Menurut beliau, pemilihan Umno perlu diadakan sebelum tamat tempoh masa yang diberikan RoS iaitu Disember tahun depan.

Apakah ini bermakna Umno mahu PRU15 diadakan sebelum November 2022?

Di sebalik itu, apa yang berlaku dalam Umno ketika ini jelas memperlihatkan terdapatnya dua kecenderungan yang kian membesar berhubung pemilihan Umno dan PRU15.

Satu kumpulan mahukan PRU15 diadakan sebelum pemilihan Umno, manakala satu kumpulan lagi mendesak agar pemilihan Umno diadakan sebelum PRU15 dilangsungkan.

Kumpulan kedua ini malah menyarankan agar tarikh PRU15 ditetapkan sekurang-kurangnya setahun selepas pemilihan Umno bagi membolehkan kesan-kesan keretakan dan perpecahan akibat pertarungan dapat diperbaiki terlebih dahulu.

Ismail Sabri dan kluster kabinet dalam kerajaan sudah tentu mahu pemilihan Umno diadakan terlebih dahulu sebelum PRU15 dilangsungkan agar bukan saja perdana menteri dapat bertanding jawatan Presiden dan mengusai Umno, malah untuk membolehkan beberapa menteri yang sekarang tiada jawatan dalam parti beroleh kedudukan dalam barisan kepimpinannya.

Dengan kedudukan sebagai menteri, beberapa di antara mereka merasakan lebih selesa untuk mampu meraih kedudukan kanan seperti timbalan presiden dan naib presiden jika pemilihan Umno diadakan sebelum PRU15 dilangsungkan.

Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan Umno yang tiada jawatan kerajaan dalam hal ini dipercayai akan sedaya upaya berusaha memastikan PRU15 mesti dilangsungkan terlebih dahulu sebelum pemilihan Umno diadakan.

Asas paling penting mengapa PRU15 perlu diadakan sebelum pemilihan Umno ialah supaya Zahid Hamidi masih berkuasa menentukan senarai calon dan menandatangani watikah kepada mereka yang diputuskan untuk bertanding.

Pertembungan dua kumpulan ini, mahu tidak mahu, sebenarnya adalah pertembungan antara Zahid Hamid dengan Ismail Sabri yang didokong oleh kluster masing-masing di belakangnya.

Zahid Hamidi ingin terus menguasai Umno, manakala Ismail Sabri dengan jawatan perdana menteri yang disandangnya pula mahu mengambil alih dan menjadi penguasa baru parti itu.

Pokoknya, dengan Najib Razak gagal dalam rayuannya baru-baru ini dan nasib Zahid Hamidi sama ada perlu membela diri atau tidak dalam kes Yayasan Akal Budi akan ditentukan pada 24 Januari depan, mampukah beliau terus mempertahankan keinginannya agar pemilihan Umno diadakan dahulu sebelum PRU15?

Di pihak Ismail Sabri pula, mampukah juga terus melengah-lengahkan PRU15 supaya pemilihan Umno harus diadakan terlebih dahulu?

Jika pertembungan makin tegang dan Ismail Sabri terus melewat-lewatkan pembubaran Parlimen, apakah mungkin Umno sendiri akhirnya akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri bagi memaksa PRU15 diadakan dengan segera?