Ramai telah meramalkan bahawa pilihanraya negeri PRN12 kali ini sudah pasti memihak kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). Maka pertempuran kali ini hanya dilihat sejauh mana pihak pembangkang akan berjaya memberi cabaran dari segi asas geografi, ethnografi dan segmen pengundi sediada GPS.
Apa yang jelas adalah pihak GPS telah berjaya memperkenalkan lambang barunya dan kerajaan GPS telah berjaya membina keyakinan rakyat dengan pengurusan yang agak baik dalam menanggani pandemik Covid -19.
GPS yang utuh, PH dan PSB bersaing untuk tempat kedua
Sekali imbas, dilihat GPS lebih bersedia untuk menghadapi PRN12 daripada pihak pembangkang. GPS masih utuh gabungannya, sedangkan Pakatan Harapan (PH) tidak turun ke pertempuraan dengan lambang pakatan mereka. DAP, PKR dan AMANAH masing-masing bertanding dengan mengunakan lambang parti masing-masing di hampir semua 82 kerusi. Kali ini PKR telah banyak memberi laluan dan hanya bertanding di 28 kerusi berbanding dengan lebih 40 kerusi di PRN lepas.
Gagasan pembangkang penjanamaan baru iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula bertanding di 70 kerusi dan bertembung dengan komponen parti PH di 52 buah kerusi. Adakah PSB lebih mantap daripada PH, kita lihat ketentuan rakyat pada 18 Disember nanti. Parti-parti lain seperti Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), SEDAR dan Aspirasi melengkapkan penyertaan parti-parti politik yang turut bertanding.
Perebutan sebenarnya adalah tempat kedua dan kepemimpinan pembangkang. Malah untuk menyahkan GPS daripada takhta penguasaan DUN Sarawak masih belum pasti mampu dicapai oleh pihak pembangkang berdasar kepada prestasi pada pilihanraya negeri dan umum yang lepas.
Walaupun pada PRU 14 yang lepas, pihak pembangkang menunjukkan kemampuan untuk mencecah 28 kerusi iaitu hampir-hampir memecahkan penguasaan dua pertiga parti pemerintah jika parti-parti bersekutu pembangkang bersatu membawa momentum PRU14, ternyata untuk PRN12 ini pihak pembangkang gagal untuk bersatu.
Semakin banyak komponen parti pembangkang yang bertanding, secara lojiknya undi pembangkang akan berpecah dan menyukarkan mereka untuk merangkul cukup undi untuk mengalahkan GPS.
35 medan rebutan, ‘swingers’ dan cuti Krismas menjadi faktor penentu
Ada 35 kerusi yang akan menjadi medan rebutan bergantung kepada kehebatan pendekatan jentera kempen dan isu-isu yang dibawa oleh parti-parti yang bertanding.
Selain daripada bilangan pengundi tegar di kedua belah pihak ada bilangan pengundi “swingers” yang akan mengundi mengikut isu yang dibawa dan kewibawaan calon yang diketengahkan. Bilangan “swingers” dan juga pengundi “first timers” yang akan membuat keputusan bergantung kepada kempen siapa yang boleh memenangi hati mereka mampu merubah kedudukan antara dua pihak yang bertentangan.
Namun, bukan faktor isu dan ketokohan calon sahaja yang akan menghayunkan undi kepada suatu pihak. Ada lagi faktor yang turut memberi impak, iaitu Jumlah Keluar Mengundi.
Antara faktor penting yang turut boleh menentukan kemenangan adalah tarikh mengundi, iaitu seminggu sebelum cuti Krismas.
Secara halus, ini adalah satu taktik licik untuk menghalang ramai daripada pengundi muda perantau yang lebih kritikal dan lebih terbuka untuk memilih, dan mampu mempengaruhi orang tua, orang pedalaman dan penghuni rumah panjang. Bayangkan sebaliknya jika pilihan raya diadakan selepas Krismas.
Ini akan memberi kelebihan kepada GPS. Dengan Jumlah Keluar Mengundi yang rendah (65%), ia juga akan memihak kepada GPS.
Ramalan kami
Ramalan kami ialah GPS hanya akan tercalar sedikit berbanding dengan keputusan PRN 11. GPS sudah pasti mengekalkan 37 kerusi sementara pihak pembangkang secara terkumpul mampu mempertahankan 10 kerusi.
Daripada 35 kerusi yang akan menjadi “battle ground” kedua pihak, berdasar kepada kekuatan jentera dan kepaduan komponen parti dalam gabungan atau pakatan, kami perhatikan bahawa
27 daripadanya condong kepada GPS sementara 8 nampak boleh ditawan oleh pihak pembangkang.
Jangkaan kami, GPS akan memenangi 69 kerusi dan pembangkang secara terkumpul akan mengutip 13 kerusi. Ini bermakna GPS akan kekal memiliki 2/3 penguasaan DUN Negeri.
*Artikel ini disumbang oleh wakil Strata Analytica di Sarawak.