Kita memandang serius kejadian buli dalam kalangan pelajar. Belum habis isu buli di Perak timbul pula laporan akhbar kejadian serupa membabitkan pelajar sekolah berasrama di Pahang.
Buli memberi kesan dan trauma yang bukan sedikit kepada mangsa. Selain kecederaan fizikal , buli memberi kesan psikologi jangka pendek dan panjang kepada mangsa sepanjang hayatnya.
Malah, ada kejadian buli yang serius sehingga menyebabkan kematian seperti kes buli dan dera membabitkan pelajar Universiti Pertahanan yang hebat diperkatakan tidak berapa lama dulu.
Lebih membimbangkan apabila kita melihat pencetus kejadian buli yang terbaharu di Perak adalah disebabkan insiden kecil tidak dapat menerima teguran berkaitan melihat video lucah dalam telefon bimbit yang dilakukan pembuli.
Banyak kajian telah dilakukan tentang faktor-faktor penyebab kejadian buli dalam kalangan anak-anak pelajar kita.
Yang nyata buli ada penzahiran kezaliman satu pihak yang berasa lebih berkuasa terhadap mangsanya yang dilihat lemah dan tidak berdaya.
Paling menyedihkan apabila ianya dikaitkan dengan ketidakmampuan pihak yang membuli dalam mengawal diri dari sudut mental dan emosi sehingga sanggup mengasari dan mencederakan mangsa tanpa sifat belas kasihan.
AWAN Kelantan berpendapat isu buli yang semakin meruncing perlu ditangani dengan pendekatan rahmah dan penuh kasih sayang. Buli menjadi petanda anak-anak kita dalam keadaan celaru pemikiran dan emosi mereka.
Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dalam usaha kita membendung gejala buli dan melahirkan masyarakat penyayang.
Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan seluruh institusinya mestilah segera melihat semula dan menambahbaik semua SOP berkaitan dengan keselamatan pelajar di sekolah, kolej dan institusi pendidikan.
Sebarang kejadian buli tidak boleh diambil ringan oleh pihak yang berwajib di sekolah dan mereka mesti dipertanggungjawabkan sekiranya insiden seperti ini berlaku dalam sekolah mereka.
Kempen sekolah penyayang dan antibuli perlu digiatkan dengan pembabitan ikon-ikon pempengaruh media sosial untuk mencegah kejadian seperti daripada berlaku.
Paling penting pendidikan yang bersifat holistik termasuk yang menekankan kecerdasan emosi dan spiritual perlu dititikberatkan dalam kurikulam pendidikan negara.
Tentunya peranan ibubapa tidak boleh ditinggalkan. Merekalah yang seharusnya bertanggungjawab dalam pembinaan dan pendidikan shaksiah anak mereka.
Walaupun anak dihantar ke sekolah berasrama, ibu bapa perlu sentiasa memantau perkembangan dan kesejahteraan anak-anak mereka.
Walaupun undang-undang bukan segala-galanya namun hukuman yang setimpal dan sewajarnya mestilah dilaksanakan kepada pembuli sekiranya terbukti bersalah sebagai iktibar kepada yang lain.
Bagi pesalah terutama yang masih bawah umur usaha perawatan perlu diusahakan bersama pakar pelbagai bidang termasuk ahli psikologi demi memulihkan keadaan mereka.
Semoga cita-cita melahirkan masyarakat penyayang dan bebas buli serta kezaliman dapat kita realisasikan.
*DR HAFIDZAH MUSTAKIM merupakan Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan.