Kesimpulan dibuat oleh Dr Kamal Hassan terhadap masyarakat negara ini yang kecewa, marah geram, hilang sabar, terhadap kemunafikan dan rasuah yang menimpa gara-gara kancah politik, sehinggakan Malaysia dikenali dunia sebagai negara paling korup, adalah hipotesis yang sebahagian entitinya diri kita juga.
Beliau yang sebelum ini bertindak sebagai ahli akademik yang memerhati perkembangan siasah negara, hilang sabar, akhirnya menulis buku memperkatakan mengenai nasib negara yang dipenuhi kemunafikan dan rasuah.
Sebenarnya Dr Hassan menulis buku bertajuk “Corruption And Hypocrisy In Malay Muslim Politics” meluahkan rasa dukacita dan bera jiwanya.
Para pencinta kedamaian dan mengimpikan wujud sebuah kerajaan Malaysia berintegriti, jauh daripada rasuah dan diselubungi kemunafikan, bersetuju 100 peratus dan berkongsikan perasaan yang sama dengan beliau. Kita semua sedang berduka dengan politik negara.
Dr Kamal mengucapkan demikian dalam forum bertajuk “Korupsi dan Hipokrasi dalam Politik Melayu-Islam”.
Forum itu menampilkan empat ahli panel, Dr Maszlee Malik, Dr Zambry Abdul Kadir, Syed Saddiq dan Dr Dzulkefly Ahmad, manakala moderatornya Syed Munawar. Sambil mendesah apa dialami Dr Kamal di sini lain timbul rasa kasihan dalam diri saya.
Rungutan rasa marah dan geram profesor itu tidak akan ke mana pun. Bagi saya untuk mengatasi masalah itu, kemunafikan politik dan rasuah, terlalu rumit keadaannya sama dengan sukarnya untuk membendung masalah dadah.
Dadah menjadi masalah paling kronik di negara ini, ia tidak mudah untuk diatasinya. Walaupun pemerintah memperkenalkan pelbagai cara membendungnya termasuk menggubal undang-undang mencabut nyawa, namun ia tetap hidup. Nah demikian juga dengan kemunafikan politik dan rasuah.
Jalan keluarnya, terletak kepada sikap dan penerimaan rakyat negara ini terhadap fenomena itu. Ertinya keinginan yang diimpikan itu akan tercapai kalau semua rakyat mengambil bahagian.
Dalam dunia politik rasuah, sudah menjadi sesuatu yang wajib, bukan sunat atau makruh lagi. Atas sifat itu semua orang politik perlu bersifat munafik. Hatta yang beridentiti keagamaan pun makan rasuah?
Pada saya satu sahaja jalan untuk mengatasinya, dengan memecat sistem yang ada ini, tukar kepada sistem baru. Misalnya, pemilihan pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan negara bukan lagi menerusi sistem demokrasi yang korup.
Kita tahu bahwa sistem demokrasi adalah ciptaan manusia yang boleh dibaiki dan berubah mengikut nafsu manusia itu. Sesuatu sangat lucu kalau kita mengharapkan air jernih dari puncak bukit yang sedang runtuh atau dibongkar.
Sedangkan kebanyakan pemain politik, adalah mereka yang seperti kata Dr Maszlee Malik tidak tahu dan ada rasa malu lagi, dan mereka pula seperti akan terus begitu sekiranya apa dikatakan Dr Zambry Abdul Kadir tidak dilakukan tarbiyah rohaniyah.
Selagi manusia tidak mengenali diri, bersifat ubudiyyah, maka kerungsingan dan kekesalan, kejengkelan dan seribu rasa buruk disebut Prof Kamal itu tidak akan ke mana.