Pakar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengesahkan objek yang disangka muntah ikan paus seperti ditemui wanita di perairan Marang baru-baru ini sebenarnya bukan ambergris.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Prof Madya Dr Hasrizal Shaari, berkata objek itu dipercayai bahan lain mengikut hasil kajian selama seminggu yang dijalankan.
Beliau berkata, kajian pihaknya mendapati bahan itu dipercayai bukan muntah ikan paus selepas melakukan kajian bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun.
Jelasnya, tiada tiga bahan aktif utama yang terdapat pada ambergris tulen ditemui pada objek yang menarik perhatian orang ramai itu baru-baru ini.
“Tiga bahan utama itu adalah ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol (30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).
“Jadi, secara tidak rasminya saya mengesahkan bahan itu bukan muntah ikan paus,” lapor BH hari ini.
Untuk rekod, UMT adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth di England.
Akhir bulan lalu, penduduk Kampung Kemasik, Aida Zurina Long, 41, menjumpai ketulan berwarna kelabu kehitaman kusam yang padat dan berlilin ketika sedang memancing dekat jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang.
Bapa Aida seorang nelayan kemudiannya mendakwa objek itu sebagai muntah ikan paus.
Ambergris yang mempunyai nilai sangat tinggi dalam industri minyak wangi ditemui kali terakhir oleh seorang nelayan di Pantai Niyom Surat Thani, Thailand Februari lalu.
Mengulas lanjut, Dr Hasrizal menjelaskan analisis dilakukan membabitkan beberapa proses antaranya ujian melarutkan bahan terbabit dalam pelarut organik, pengeringan dan beberapa lagi proses sebelum melalui proses ujian makmal untuk menentukan sama ada ia ambergris atau sebaliknya.
“Daripada pandangan mata kasar, bahan itu memang nampak seakan sama seperti ketulan muntah ikan paus dan hanya ujian makmal yang akan menentukan sama ada ia ambergris atau bukan,” katanya.
Beliau memberitahu pihaknya telah melakukan kajian terhadap 18 sampel ketulan yang didakwa muntah ikan paus yang ditemui di perairan negara sejak Januari lalu, tetapi semuanya disahkan bukan ambergris.
“Bahan itu berkemungkinan lemak sayur dan sebagainya yang terkumpul atau gumpalan sisa lain yang dibuang ke laut, tetapi hasil kajian ia terbukti bukan ambergris,” tambah Dr Hasrizal lagi.