Tokoh media, Datuk Hussamuddin Yaacub meminta pihak berkuasa menyiasat apakah benar dakwaan tapak Taman Sri Muda, Shah Alam yang sedang dilanda banjir sepatutnya adalah tapak takungan banjir.
Menerusi Facebook beliau, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Karangkraf yang juga Rasuah Buster itu, pihak berkuasa perlu membuka semula kes ini untuk disiasat.
“Saya menerima maklumat dari sumber yang berwibawa yang mendakwa, Sri Muda sepatutnya menjadi tapak takungan air banjir. Tetapi ia telah dijual kepada pemaju perumahan.
“Pemaju sepatutnya mengisi semula 2 meter tetapi ia tidak dilakukan,” kata Husamuddin.
Oleh itu, katanya, kes ini perlu disiasat.
“Pastikan semua yang terlibat bertanggungjawab dan membayar harga akibat jenayah yang dilakukannya,” kata beliau.
Penduduk Taman Sri Muda kini paling teruk dilanda banjir kerana air banjir terus kekal di kawasan mereka dan tidak surut.
Orang ramai mendakwa, penduduk di sini terperangkap dalam fenomena ‘air termenung’ kerana banjir di kawasan ini tidak surut.
Sehingga kini, tiga mangsa telah ditemui mati akibat banjir ini.