Pasca banjir: Penembak air berkuasa tinggi guna petrol paling sesuai

Oleh ARIF ATAN

RM1,000 tidak cukup untuk seunit penembak air berkuasa tinggi (heavy-duty waterjet).

Beberapa hari lalu, saya mengajukan persoalan bagaimana waterjet berkuasa elektrik dapat berfungsi di lokasi bencana yang masih ketiadaan bekalan elektrik dan air.

Semalam, saya menemukan jawapannya – iaitu gunakan waterjet yang dijanakuasakan dengan enjin petrol.

Tapi harganya tidak murah. Bukan RM500, RM1,000. Harganya tidak kurang dari RM1,600 bergantung jenama!

Sekarang ialah fasa mangsa banjir “restart” kehidupan. Bagaimana mereka hendak memulakan semula kehidupan normal jika rumah masih belum dibersihkan? Banyak tempat masih belum menerima bekalan elektrik.

Banyak sumbangan powerjet yang diterima sukarelawan dikuasakan dengan elektrik. Generator pun tidak banyak.

Jadi, kami di Kafilah Buku Pelita Dhihin Akademi Jawi Malaysia – Klasika Media Rihla Bookstore Taman Pustaka Tukang Buku memulakan inisiatif sendiri melancarkan crowdfunding untuk mendapatkan seunit petrol waterjet.

Kami memilih waterjet ini sebagai sumbangan kerana ia paling praktikal dalam situasi sekarang dan dapat digunakan juga untuk jangka panjang supaya setiap ringgit yang dikeluarkan itu tidak disia-siakan.

Alhamdulillah, dalam masa kurang 12 jam, kami dapat mengumpulkan RM1,900 dan membeli sebuah waterjet berenjin Robin EY20 berkapasiti 5.0 HP daripada pembekal jentera Bumiputera di Batu Caves.

Tanpa bertangguh lagi, pagi tadi saya mewakili para dermawan menyerahkan waterjet tersebut kepada pasukan sukarelawan yang beroperasi di PPS Kompleks Penghulu Mukim Cheras. PPS di sini diuruskan oleh NGO Warisan Kota.

Semoga sumbangan kecil kami ini dapat membantu mempercepatkan kerja-kerja pembersihan rumah penduduk Hulu Langat.

Banyak rupa-rupanya jenama petrol powerjet di pasaran. Kita yang baru berjinak-jinak dalam kerja volunteerism ini memang tidak tahu.

Untuk mobiliti yang lebih mudah, sebaik-baiknya kita dapatkan waterjet yang beroda. Antara model dan jenama yang ada roda di pasaran ialah EuroX EHY2001 atau Enrico EPW-H188.

Harganya tidak murah tetapi biarlah alah membeli menang memakai.